IBU melahirkan anak menerusi pembedahan berisiko tinggi mengalami tumpah darah. GAMBAR hiasan
IBU melahirkan anak menerusi pembedahan berisiko tinggi mengalami tumpah darah. GAMBAR hiasan
Siti Zarinah Sahib


“PUAN, rahim puan terkoyak besar akibat kontraksi yang lama. Pendarahan sangat banyak. Bayi juga sudah termakan najis. Diharap puan bersabar dan banyakkan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan bersalin ini.”

Ramai wanita merancang untuk bersalin secara normal, namun disebabkan pelbagai komplikasi menyebabkan keinginan mereka tidak dapat diteruskan. Sama seperti wanita lain yang merancang untuk bersalin secara normal, Nur Ain Jumari turut menyimpan impian sama. Tambahan pula ketika kehamilan, dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

Namun wanita ini terpaksa akur dan membenarkan doktor melakukan pembedahan disebabkan degupan jantung bayi sudah terlalu lemah. Jika diteruskan juga kelahiran normal, pelbagai kemungkinan akan timbul dan risiko lain yang tidak dijangkakan.

"Saya tiada masalah sepanjang kehamilan dan boleh melahirkan anak secara normal. Namun dua hari sebelum bersalin, saya mengalami kontraksi lembut namun tidak terlalu kerap.

“Ketika itu kandungan sudah mencecah 40 minggu. Selepas pemeriksaan, doktor membenarkan saya pulang ke rumah kerana bukaan baru dua sentimeter (sm). Doktor turut memberikan ubat merawat jangkitan kuman kerana ada sedikit jangkitan yang menyebabkan kontraksi berlaku.

“Oleh kerana tiada pengalaman, saya hanya mengikut saranan doktor tanpa memikirkan keadaan ini boleh membahayakan nyawa saya dan bayi ,” katanya.

Pada malamnya, Nur Ain mula mengalami kontraksi yang kuat. Namun dia masih bertahan sehingga keesokan harinya keluar tanda darah yang banyak.

“Oleh kerana tidak lagi mampu menanggung kesakitan, saya mengajak suami ke hospital. Tiba di hospital doktor mengesahkan kadar denyutan jantung bayi terlalu lemah dan pembedahan kecemasan perlu dilakukan, jika tidak ia boleh mengancam nyawa bayi,” katanya.

Menurut Nur Ain, ketika pembedahan doktor memaklumkan rahim sudah terkoyak besar dan menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak. Bayi pula sudah termakan najis. Jadi doktor berusaha untuk memastikan keselamatan kedua-duanya.

“Alhamdulillah, dua jam bertarung nyawa saya dipindahkan ke wad biasa. Bayi pula diletakkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana sudah tertelan najis. Sekali lagi membuatkan saya sedih dan tertekan.

“Ketika itu saya hanya mampu berdoa kepada Allah agar tiada sebarang masalah pada bayi. Hampir seminggu saya terpaksa berulang-alik ke wad melawat bayi sehinggakan sekali lagi saya mengalami tumpah darah yang banyak,” ceritanya yang pada mulanya tidak tahu ia adalah tumpah darah sehinggalah doktor memaklumkannya.

Kesan tumpah darah ini Nur Ain terpaksa menjalani tempoh berpantang yang agak sukar. Mujur ketika itu dia berpantang di kampung, jadi ada ibu yang dapat membantu menguruskan bayi.

“Luka pembedahan pula lambat pulih dan saya masih merasai kesakitan walaupun sudah hampir dua bulan bersalin. Luka luaran juga terdapat nanah dan perlu dicuci di klinik. Keadaan ini menyukarkan pergerakan dan membuatkan saya sangat sedih,” katanya.

Nur Ain turut mengakui pernah terbit rasa serik untuk hamil semula disebabkan komplikasi yang berlaku. Dia juga turut dinasihatkan menjarakkan kehamilan bagi membolehkan rahim pulih sepenuhnya.

“Selepas empat tahun saya hamil semula. Namun disebabkan komplikasi ketika bersalin, tumpah darah dan rahim terkoyak ketika kelahiran anak pertama menyebabkan saya terpaksa menjalani pembedahan untuk anak kedua. Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan untuk anak kedua kerana masalah ini tidak berulang," katanya.

TUMPAH DARAH BAHAYAKAN NYAWA IBU

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Sunway Dr Sharmina Kamal, tumpah darah adalah pendarahan yang berlaku apabila darah keluar melebihi 500 mililiter (ml) ketika bersalin secara normal atau melebihi 1,000ml bagi yang bersalin secara pembedahan.

Walaupun kaedah pembedahan adalah selamat, ia juga boleh menimbulkan komplikasi tertentu selepas pembedahan seperti tumpah darah.

“Bagi kelahiran pembedahan, pendarahan lebih banyak berlaku disebabkan pemisahan uri dan dinding rahim atau episiotomi. Sebab itu doktor akan memaklumkan wanita yang bersalin secara pembedahan mengenai risiko tumpah darah ini,” katanya.

PERUNDING Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Sharmina Kamal. FOTO: Khairull Azry Bidin
PERUNDING Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Sharmina Kamal. FOTO: Khairull Azry Bidin

Adalah menjadi kebiasaan untuk mengalami pendarahan selepas bersalin. Darah itu mungkin keluar dari rahim ataupun koyakan perineum yang terjadi semasa proses kelahiran itu sendiri.

“Pendarahan selalunya akan menjadi banyak sejurus selepas bersalin dan berkurang secara berperingkat dalam beberapa jam. Pendarahan akan berterusan dan berkurangan dalam beberapa hari lagi dan disertai perubahan warna darah daripada merah terang ke coklat. Pendarahan ini dinamakan ‘lokia’ dan seharusnya berhenti apabila bayi berusia enam minggu,” jelasnya.

Namun pendarahan yang berterusan dan berlebihan daripada biasa adalah tidak normal. Keadaan ini dipanggil tumpah darah selepas bersalin.

IBU bersalin alami pendarahan berterusan dan berlebihan daripada biasa adalah tidak normal. GAMBAR hiasan
IBU bersalin alami pendarahan berterusan dan berlebihan daripada biasa adalah tidak normal. GAMBAR hiasan

Terdapat beberapa keadaan tumpah darah boleh berlaku sama ada untuk kelahiran normal atau pembedahan antaranya:

1. Rahim lambat mengecut selepas bersalin.

Keadaan rahim yang lebih mengembang lebih daripada biasa mungkin disebabkan oleh kehamilan kembar, polihidramnion iaitu air ketuban terlalu banyak atau bayi terlalu besar (empat kilogram ke atas).

2. Melalui proses kelahiran terlalu lama.

Kebiasaannya berlaku terhadap wanita yang melahirkan anak secara normal.

3. Wanita yang alami jangkitan kuman pada rahim.

4. Wanita yang mengalami koyakan teruk.

5. Wanita yang ada masalah uri iaitu kedudukan bawah (plasenta previa) atau plasenta akreta.

6. Wanita yang mengalami pembekuan darah (termasuklah mereka yang ada penyakit seperti hemofilia dan Von Willibrand, atau mereka yang mengambil ubat cairkan darah seperti warfarin atau clexane).

7. Wanita yang mempunyai sejarah tumpah darah ketika bersalin anak yang terdahulu.

Berdasarkan pengalaman mengendalikan kes kelahiran jelas Dr Sharmina, kebanyakan kes tumpah darah disebabkan rahim lambat mengecut atau tidak kecut dengan betul. Ia mungkin disebabkan proses kelahiran terlalu lama dan jangkitan kuman yang boleh berlaku untuk kelahiran biasa atau pembedahan.

“Koyakan yang banyak juga boleh menyebabkan pendarahan termasuklah bahagian uri belum habis dikeluarkan dari rahim dan wanita mempunyai masalah pembekuan darah (darah cair atau lambat beku)," jelasnya.

RAWATAN TUMPAH DARAH

Sebelum memberikan sebarang rawatan dan ubat-ubatan, pesakit perlu berada dalam keadaan stabil. Untuk itu sekumpulan doktor terdiri daripada doktor pakar (sakit puan dan pakar bius) perlu berada bersama-sama dikhuatiri jika tumpah darah terlalu teruk.

“Sekurang-kurangnya dua saluran intravena (IV) perlu dipasangkan kepada pesakit iaitu untuk pemberian ubat-ubatan, air dan pemindahan darah jika perlu. Darah mungkin perlu diambil bagi memastikan ia sepadan sekiranya tumpah darah yang kronik.

“Doktor akan memeriksa rahim untuk memastikan rahim mengecut. Jika tidak, perut akan diurut bagi menggalakkan pengecutan rahim. Beberapa jenis ubat mungkin akan diberi (secara suntikan atau IV) bagi membolehkan pengecutan rahim berlaku. Pada masa sama, uri akan diperiksa agar tiada yang tertinggal di dalam,” jelasnya.

Namun begitu, jika rahim dalam keadaan kontraksi normal tetapi masih berlaku pendarahan, doktor akan memeriksa faraj termasuk pada servik untuk memastikan tiada koyakan.

Ada kalanya pemeriksaan jahitan perlu dilakukan di dewan bedah, terutama sekiranya pendarahan terlalu banyak atau pesakit tidak memberikan kerjasama sepenuhnya mungkin disebabkan kesakitan atau kehilangan banyak darah.

Jelas Dr Sharmina, bagi kes darah yang berhenti selepas beberapa rawatan diberikan, pembedahan membuang rahim atau histerektomi mungkin perlu dilakukan bagi menyelamatkan nyawa pesakit.

Jika sebelum bersalin paras hemoglobin pesakit terlalu rendah, pertumpahan darah sebanyak 500ml pun boleh mengancam nyawa. Namun secara amnya, pertumpahan darah sebanyak 1.5 liter dikategorikan sebagai sangat kritikal.

“Saya nasihatkan wanita hamil supaya jalani pemeriksaan kehamilan setiap bulan dan minggu bagi memastikan paras hemoglobin adalah normal. Wanita juga digalakkan bersalin di hospital yang mempunyai cukup bekalan darah bagi memastikan tiada sebarang komplikasi sekiranya pemindahan darah perlu dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 4:30 AM