TIGA rakyat Indonesia di Gaza yang terputus hubungan. FOTO Ihsan Kementerian Luar Indonesia
TIGA rakyat Indonesia di Gaza yang terputus hubungan. FOTO Ihsan Kementerian Luar Indonesia
BERNAMA

Jakarta: Kementerian Luar Indonesia pada Isnin terputus hubungan dengan tiga rakyatnya selepas tentera pendudukan Israel mengebom Hospital Indonesia di Gaza Utara, Palestin.

Menterinya Retno Marsudi berkata beliau sudah menghubungi Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza untuk mengetahui keadaan di hospital itu.

"Maklum balas daripada UNRWA menyatakan mereka tidak dapat berhubung dengan sesiapa pun di hospital itu pada masa ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga cuba menghubungi Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Palang Merah Antarabangsa, namun tidak mendapat jawapan.

"Saya akan terus menghubungi pelbagai pihak untuk mendapatkan maklumat berhubung Hospital Indonesia dan keselamatan tiga warganya.

"Kami sedang menyelaraskan usaha bersama Jawatankuasa Penyelamat Kecemasan Perubatan (MER-C) Indonesia di Jakarta.

"Doakanlah keselamatan mereka dan semoga mereka sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT," katanya.

Ketiga-tiga individu itu, sukarelawan dari MER-C Indonesia, memilih untuk tidak dipindahkan dan kekal di hospital.

Retno berkata serangan terbaru ini jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, sambil menekankan bahawa semua negara, terutama yang mempunyai hubungan rapat dengan Israel, mesti menggunakan pengaruh mereka untuk mendesak Israel menghentikan kekejamannya.

Agensi Anadolu yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa serangan Israel ke atas Hospital Indonesia membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan ramai penduduk.

Retno kini berada di Beijing, China, bersama rakan sejawat dari Arab Saudi, Jordan, Mesir, Palestin, dan setiausaha agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). ​

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 11:27 PM