(Dari kiri) Motaz Azaiza, Bisan Owda dan Wael Al-Dahdouh. FOTO Instagram
(Dari kiri) Motaz Azaiza, Bisan Owda dan Wael Al-Dahdouh. FOTO Instagram
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Satu petisyen dalam talian dilancarkan bagi mendesak Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memanggil tiga wartawan Gaza, Palestin menjadi saksi dalam kes jenayah genosid Israel.

Inisiatif itu dilancarkan Fazilat Siddiq dan Marah Zabalawi bertujuan bagi mendapatkan sokongan supaya wartawan terbabit diberi peluang memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Katanya, keterangan tiga wartawan, Motaz Azaiza, Bisan Owda dan Wael Al-Dahdouh dalam perbicaraan yang berlangsung di The Hague, Belanda sangat penting bagi mendapatkan keadilan untuk Gaza.

"Selain mendokumentasikan perang genosid, mereka ada pengalaman secara langsung sepanjang lebih 100 hari perang di Gaza.

"Mereka saksi mata yang boleh menghuraikan dan memperincikan lagi tuduhan Afrika Selatan terhadap pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Gaza.

"Ini memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami situasi dan membuat pertimbangan sendiri berdasarkan maklumat disampaikan," kata kenyataan petisyen itu.

Dalam kenyataan sama, mereka turut menggesa perlindungan terhadap wartawan yang masih bertugas membuat liputan di Gaza.

"Wartawan Gaza juga menjadi sasaran dan sejumlah besar wartawan telah dibunuh. .Jadi, kami menggesa ICJ untuk melindungi wartawan di Gaza.

"Tolong tandatangani petisyen ini jika anda percaya keadilan ditegakkan secara telus dan mahu Motaz Azaiza, Bisan Owda dan Wael Al-Dahdouh menjadi saksi dalam kes penting ini di ICJ dan perlindungan buat wartawan lain di Palestin," katanya.

Untuk rekod, Motaz adalah jurugambar dan penerbit kandungan untuk Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) manakala Bisan pula pembuat filem Palestin dan aktivis Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kesaksamaan jantina dan Kesatuan Eropah dalam isu perubahan iklim serta Wael pula Ketua Biro Al Jazeera Gaza.

Setakat ini, petisyen itu yang mula dilancarkan Khamis lalu kini meraih 104,792 tandatangan komuniti antarabangsa daripada 150,000 sasaran tandatangan.

Afrika Selatan memfailkan kes genosid Israel terhadap Palestin pada Disember lalu dan meminta ICJ mengeluarkan langkah sementara untuk melindungi rakyat Palestin termasuk menghentikan serangan Israel.

Pada hari pertama perbicaraan 11 Januari lalu, Afrika Selatan membentangkan senarai dakwaan tindakan genosid Israel manakala Israel membela diri pada keesokannya.

Tindakan Afrika Selatan itu turut meraih sokongan dunia termasuk Malaysia, Turkiye, Jordan, Bolivia, Maldives, Namibia, Pakistan, Brazil, Colombia, Bangladesh selain negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pada masa sama, Indonesia, Slovenia dan Ireland turut mempertimbangkan menyertai Afrika Selatan menentang Israel di ICJ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 12:19 PM