PETUGAS kesihatan mengumpul sampel calitan daripada kanak-kanak di sebuah hospital di New Delhi. FOTO Reuters
PETUGAS kesihatan mengumpul sampel calitan daripada kanak-kanak di sebuah hospital di New Delhi. FOTO Reuters
Agensi

New Delhi: Varian Covid-19 baharu yang digelar Arcturus menyebabkan lonjakan kes baharu di India dan mempunyai beberapa gejala unik pada kanak-kanak, kata pakar.

Strain XBB.1.16, subvarian Omicron ditemukan di 22 negara termasuk Singapura, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Portal Independent melaporkan, ia dipercayai bertanggungjawab terhadap peningkatan jangkitan di India, menyebabkan kerajaan mengambil langkah baharu untuk menghentikan penyebarannya.

Ini termasuk mengembalikan beberapa undang-undang termasuk pemakaian pelitup muka.

India merekodkan 11,109 kes baharu pada Jumaat, kata kementerian kesihatan negara itu.

Ia lonjakan mendadak daripada 7,830 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan dalam 24 jam sebelumnya.

Jumlah yang dilaporkan itu adalah yang tertinggi dalam lapan bulan dengan kes aktif melonjak kepada 49,622.

Penyebaran strain yang pertama kali dikesan pada akhir Januari itu membimbangkan pakar kerana ia kelihatan menunjukkan simptom unik pada kanak-kanak, salah satunya adalah konjunktivitis.

Pakar pediatrik dan bekas ketua Jawatankuasa Imunisasi Akademi Pediatrik India Vipin Vashishtha menerusi ciapan di Twitternya berkata, varian dengan 'fenotip kanak-kanak', nampaknya muncul.

Gejala varian itu termasuk demam tinggi, batuk, dan konjunktivitis 'gatal', kata Dr Vashishtha kepada akhbar Hindustan Times.

Konjunktivitis atau jangkitan mata yang menyebabkan kemerahan, kegatalan dan bengkak pada mata sebelum ini dilaporkan sebagai simptom Covid-19, tetapi ia tidak lazim, Richard Reithinger, ahli epidemiologi penyakit berjangkit di RTI International dipetik sebagai berkata kepada Fortune.

Penyelidik di Institut Mata Truhlsen Perubatan Nebraska mengenal pasti virus dalam air mata yang boleh menyebabkan konjunktivitis.

Bagaimanapun, Dr Vashishtha menerusi ciapan di Twitter, dia merawat bayi dengan demam tinggi, selsema, batuk, dan konjunktivitis tidak bernanah, gatal dengan mata melekit, tidak kelihatan dalam gelombang awal.

Doktor lain melihat peningkatan kes Covid-19 pada kanak-kanak juga.

"Biasanya, kanak-kanak ini datang dengan jangkitan pernafasan mudah seperti batuk, selesema, demam dan apabila diuji mereka ternyata positif (Covid-19)," kata pakar pediatrik Dr Rahul Nagpal kepada India Today.

Dr Nagpal berkata, simptom utama XBB.1.16 pada orang dewasa menyerupai selesema termasuk keluar bendalir hidung, sakit tekak dan batuk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 11:52 AM