MEMBASUH tangan untuk jaga kebersihan diri.
MEMBASUH tangan untuk jaga kebersihan diri.
JANGKITAN virus penyebab selesema.
JANGKITAN virus penyebab selesema.
JAGA kebersihan rumah supaya penghuninya sihat.
JAGA kebersihan rumah supaya penghuninya sihat.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Mungkin ada sesetengah daripada kita menganggap gejala demam, selesema dan batuk adalah perkara normal hingga tidak mengambil peduli mengenai kesihatan orang di sekeliling mereka terutamanya bayi.

Biarpun orang dewasa yang mengalami masalah kesihatan itu mampu bertahan disebabkan antibodi yang kuat namun tidak bagi bayi, kanak-kanak yang mempunyai masalah imun, individu yang menjalani kemoterapi ataupun warga emas yang uzur.

Justeru, sebelum ingin melawat bayi atau sesiapa saja, kita perlu sedar mengenai masalah yang akan menimpa golongan ini sekiranya kita sedang mengalami masalah kesihatan.

Masalah ini pernah menjadi keresahan kebanyakan ibu bapa terutama bagi mereka yang mempunyai bayi baru lahir. Perkara yang menjadi kegusaran kebanyakan ibu bapa itu ialah jangkitan virus yang dibawa oleh tetamu ketika datang melawat.

Ujar Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Anushree Narayanan, jangkitan virus yang dikenali sebagai adenovirus ini boleh menjadi serius jika menjangkiti bayi kerana imun badan mereka masih belum kuat untuk mempertahankan diri daripada sebarang serangan virus mahupun bakteria.

“Kita perlu faham 90 peratus daripada jangkitan kuman menyebabkan selesema dan batuk disebabkan virus manakala 10 peratus lagi berpunca daripada bakteria yang memerlukan rawatan dengan antibiotik.

“Adenovirus mendapat namanya selepas ia dijumpai di tisu adenoid iaitu di bahagian belakang hidung. Ia adalah sejenis virus yang boleh menjangkiti sistem pernafasan yang selalu berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.

“Ia juga boleh menyerang seluruh badan pesakit. Lazimnya ia menyebabkan jangkitan ringan, namun keadaan yang lebih teruk boleh berlaku hingga boleh mengancam nyawa pesakit,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila virus ini didapati boleh hidup di permukaan luar seperti plastik berbanding jenis virus lain. Virus ini juga berjangkit apabila pesakit batuk atau bersin.

Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan, sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

Gejala penyakit

Gejala jangkitan adenovirus serupa dengan gejala jangkitan sistem pernafasan yang lain. Antara gejala terbabit ialah demam, sakit tekak, batuk dan hidung berair.

Gejala virus itu juga boleh dikesan apabila terdapat banyak pengeluaran kahak. Ini disebabkan serangan virus berkenaan berlaku di bahagian atas sistem pernafasan yang membuatkan pesakit batuk, sakit tekak dan menghasilkan kahak.

“Situasi ini boleh menjadi bahaya jika individu yang dijangkiti virus ini mengalami radang paru-paru (pneumonia). Virus ini juga boleh menyebabkan pesakit mengalami sakit mata (konjunktivitis), cirit-birit, jangkitan pundi kencing dan ruam.

“Masalah sakit mata boleh dikesan akibat jangkian virus berkenaan jika ia digabungkan dengan gejala

lain seperti batuk berkahak dan selesema. Malah, ia juga antara satu daripada ribuan virus yang boleh menyebabkan gejala penyakit yang sama.

“Kebiasaannya, kanak-kanak yang diserang virus ini menunjukkan gejala demam yang berlarutan sehingga melebihi tujuh hari berbanding tempoh tiga hari,” katanya.

Ujarnya, semua orang berisiko dijangkiti virus ini, namun mereka yang mengalami masalah tahap imuniti yang rendah, sistem pernafasan dan jantung mungkin akan mendapat komplikasi lain yang lebih berbahaya.

Gejala itu menjadi bertambah buruk dan membimbangkan apabila ia dialami pesakit dalam kalangan bayi berusia bawah dua bulan, orang tua yang uzur, kanak-kanak yang mempunyai masalah imun serta individu yang baru selesai menjalani rawatan kemoterapi kerana virus mudah memasuki paru-paru hingga menyebabkan masalah bronkiolitis dan akhirnya diserang pneumonia.

Masalah ini boleh menjadi buruk apabila paru-paru pesakit mengandungi banyak kahak hingga mewujudkan kehadiran bakteria, sekali gus boleh mengancam nyawa mereka jika tidak mendapat rawatan segera.

Ibu bapa perlu segera mendapatkan pemeriksaan jika bayi kurang dari usia tiga bulan mengalami demam panas. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengambil perhatian dan segera melakukan pemeriksaan jika bayi mereka mengalami masalah kombinasi demam, selesema serta batuk yang berlanjutan melebihi tiga hari.

Segera dapatkan pemeriksaan jika:

1. Mengalami demam melebihi 39 darjah Celsius dan berpanjangan hingga lima hari.

2. Masalah kahak yang terlalu pekat.

3. Sakit mata atau kehadiran jumlah tahi mata yang berlebihan daripada biasa.

4. Cirit-birit.

Rawatan dan pencegahan

“Rawatan sokongan akan diberikan kepada pesakit, namun kebiasaannya mereka tidak akan diberi antibiotik kerana ia bukan disebabkan jangkitan bakteria.

“Jika kanak-kanak diserang virus ini, pesakit akan diarahkan untuk dimasukkan ke dalam wad jika berlaku masalah dehidrasi akibat kurang selera makan hingga menyebabkan anak tidak mahu makan ataupun minum.

“Kemampuan menghalang virus ini bergantung kepada kekuatan sistem antibodi pesakit. Virus ini sangat kuat dan ia boleh berjangkit melalui air liur atau hingus ketika individu lain bersin ataupun batuk sebelum tersebar kepada pesakit baru.

“Selain itu, ia juga boleh disebarkan melalui tangan yang terdapat mukus atau kahak yang tidak dibersihkan selepas mengelap mulut ataupun hidung. Justeru, sebelum menyentuh bayi pastikan tangan dibersihkan atau dibasuh bagi mengelakkan virus berkenaan menjangkiti si kecil,” katanya.

Bagi tetamu yang sedang mengalami selesema atau batuk, sebaiknya pakai penutup mulut atau tidak mendekati bayi kerana si kecil mudah mendapat jangkitan virus yang disebarkan kerana kekuatan imun mereka masih belum matang.

Ibu juga perlu pastikan bayi diberi susu badan yang mencukupi untuk melindungi si kecil daripada jang­kitan virus berkenaan kerana kekuatan sistem imun orang dewasa yang sihat mampu melindungi diri si kecil daripada terkena jangkitan virus itu.

“Biarpun ibu sedang menghadapi jangkitan virus itu, mereka perlu menyusukan bayi kerana sistem imun badan orang dewasa sudah aktif dan antibodi yang ada itu akan disalurkan kepada anak melalui susu badan.

“Berbanding bayi yang tidak disusukan dengan susu badan akan lebih mudah terdedah kepada jangkitan virus ini,” katanya.

Patuhi langkah di bawah bagi mengelakkan penyebaran adenovirus:

1. Amalkan adab batuk yang betul. Gunakan tisu atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Buang tisu yang digunakan ke dalam tong sampah.

2. Amalkan mencuci tangan dengan betul dan lebih kerap sama ada menggunakan sabun dan air atau pencuci tangan (hand sanitizer).

3. Pastikan pengudaraan yang baik dalam rumah, asrama atau tempat tinggal.

4. Tidak mengunjungi tempat tumpuan orang ramai terutama bagi mereka yang mengalami gejala serupa selesema.

5. Pakai penutup mulut dan hidung sekiranya anda mempunyai gejala penyakit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 12:45 PM