VIRUS Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah.
VIRUS Covid-19. FOTO Ihsan FB Dr Noor Hisham Abdullah.
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Tiada subvarian coronavirus baharu iaitu 'Kraken' atau Omicron XBB.1.5 dikesan di negara ini setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemantauan lanjut terus dijalankan terhadap XBB 1.5 yang kini menjadi rantaian dominan di Amerika Syarikat (AS).

"Kita masih memantau sama ada XBB 1.5 ada kesannya dari segi keparahan dan penularan, setakat ini ia belum dikesan lagi dalam negara.

"Namun pemantauan lanjut akan terus dijalankan dan kita juga akan bekerjasama dengan negara lain untuk melihat dari segi penularan dan keparahan varian ini," katanya pada sesi taklimat khas bersama media hari ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), XBB.1.5 ialah keturunan subvarian Omicron XBB yang terjadi daripada persilangan antara dua strain terdahulu, BA.2.75 dan BA.2.10.1.

Pakar menggelarkan strain Omicron XBB.1.5 ini dengan nama 'Kraken' yang berpotensi mencetuskan gelombang besar Covid-19.

WHO dilaporkan sedang membuat penilaian risiko strain XBB.1.5.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 12:50 PM