Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) merayu dan mendesak supaya pencarum paling terkesan diberi kelonggaran mengeluarkan akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presidennya, Azmi Mohamad Tahir berkata, pemindahan akaun 2 KWSP ke akaun fleksibel hanya memberi manfaat kepada pencarum mempunyai jumlah baki tinggi dan mencarum setiap bulan tanpa gagal.

Bagaimanapun katanya, nasib pencarum kehilangan kerja dan tidak mempunyai potongan KWSP yang stabil terutama mereka tiada baki dalam akaun 2 diabaikan begitu saja.

"Saya merayu dan mendesak diberikan kelonggaran supaya pencarum yang tiada lagi baki dalam akaun 2 untuk dibenarkan mengeluarkan separuh daripada akaun 1 ataupun mengikut formula 15:30.

"Golongan ini kebanyakannya dibuang kerja dan tidak mempunyai potongan KWSP yang stabil kerana tiada pekerjaan atau hanya berniaga kecil-kecilan.

"Mereka ini yang sebenarnya memerlukan pengeluaran untuk menyelesaikan masalah hutang, tunggakan dan bermacam lagi," katanya.

Azmi turut mempersoalkan relevan menahan duit pencarum yang tidak mempunyai baki bawah RM1,000 dalam akaun 2 atau tiada langsung.

Jelasnya, kebanyakan mereka ni mempunyai jumlah ratusan dan puluhan ribu dalam akaun 1, tetapi tidak dibenarkan buat pengeluaran.

"Saya menyuarakan hasrat pencarum yang terkesan supaya diberi kelonggaran untuk mengeluarkan baki akaun 1 mengikut formula 15:30 ke akaun fleksibel.

"Sebenarnya, kami sudah mengira jumlah pengeluaran pencarum bersasar ini hanya membabitkan RM5 bilion berbanding RM53 bilion untuk

inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP (akaun fleksibel) berkuat kuasa

11 Mei 2024," katanya.

Tambah Azmi, apa yang dilakukan kerajaan sekarang hanya memberi manfaat kepada pencarum yang tidak terkesan kerana mempunyai jumlah simpanan dalam akaun 2 yang banyak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 2:31 PM