FOTO menunjukkan keadaan terkini Farhad Meysami. FOTO AFP
FOTO menunjukkan keadaan terkini Farhad Meysami. FOTO AFP
AFP

Tehran: Menggemparkan apabila foto menunjukkan pejuang hak asasi manusia dan doktor perubatan Iran yang dipenjarakan, kini kurus kering akibat kesan mogok lapar selama berminggu-minggu.

Menurut jurukempen, Farhad Meysami yang menjalani hukuman penjara lima tahun sejak 2018 melakukan mogok lapar selama beberapa minggu sebagai protes terhadap tindakan keras pihak berkuasa susulan perhimpunan antirejim.

Peguamnya, Mohammad Moghimi memuat naik foto di Instagram (IG) yang menunjukkan Farhad yang dipenjarakan di penjara Rajai Shahr, di bandar Karaj di luar Tehran, dalam keadaan kurus.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana imej itu diambil.

"Anak guam saya adalah seorang aktivis politik yang kehilangan berat badan dengan teruk akibat mogok lapar di penjara," tulis Moghimi.

Beliau berkata, Farhad melancarkan mogok lapar untuk menuntut dihentikan hukuman mati yang dikaitkan dengan protes, pembebasan tahanan politik dan penamatan kod pakaian wajib wanita di Iran.

Sementara itu, Amnesty International menyifatkan imej itu sebagai mengejutkan dan boleh menimbulkan kebimbangan besar mengenai kesihatan serta kehidupan Farhad selepas lebih sebulan mogok lapar.

"Imej beliau ini adalah peringatan yang mengejutkan mengenai penghinaan pihak berkuasa Iran terhadap hak asasi manusia," tambahnya di Twitter.

Dalam pada itu, Duta Amerika Syarikat (AS) di Iran, Robert Malley, juga menyifatkan imej itu mengejutkan.

"Rejim Iran secara tidak adil menafikan hak dan kebebasan ribuan tahanan politik lain menuntut. Kini, ia secara tidak adil mengancam nyawanya," katanya.

Tidak jelas berapa lama Farhad melakukan mogok lapar, namun beberapa laporan mengatakan tindakan itu, sejak Oktober, manakala yang lain mengatakan ia sudah setahun lamanya.

Sementara itu, Pusat Hak Asasi Manusia di Iran (CHRI) yang berpangkalan di AS berkata, lelaki itu kehilangan lebih 50 kilogram (kg) akibat mogok lapar.

Menurut rekod, Farhad, salah seorang tahanan politik Iran yang paling lama berkhidmat ditangkap pada Julai 2018 ketika berkempen menyokong pemansuhan peraturan yang mewajibkan pemakaian tudung dan disabitkan dengan tuduhan berkaitan keselamatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 11:19 AM