FOTO pada 19 September menunjukkan demonstrasi di Tehran, susulan kematian Mahsa Amini. FOTO Wana/ Reuters
FOTO pada 19 September menunjukkan demonstrasi di Tehran, susulan kematian Mahsa Amini. FOTO Wana/ Reuters
AFP

Tehran: Sekurang-kurangnya 108 kematian sudah direkodkan di seluruh Iran, susulan protes kematian Mahsa Amini sejak tiga minggu lalu, menurut Kumpulan Hak Asasi Iran (IHR).

Pasukan keselamatan Iran didakwa turut membunuh sekurang-kurangnya 93 orang lagi dalam pertempuran berasingan di bandar Zahedan, di wilayah tenggara Sistan-Baluchistan.

Protes meletus di seluruh Iran pada 16 September apabila Mahsa meninggal dunia selepas tiga hari koma kerana ditahan polis di Tehran kerana didakwa melanggar kod pakaian wanita.

Keganasan di Zahedan pula tercetus pada 30 September lalu ketika protes yang dicetuskan kemarahan ekoran kejadian rogol seorang remaja perempuan oleh seorang komander polis di wilayah itu.

Kumpulan hak asasi manusia juga menyuarakan kebimbangan mengenai tindakan keras di Sanandaj, ibu kota wilayah asal Mahsa di Kurdistan di barat Iran.

"Masyarakat antarabangsa mesti menghalang pembunuhan seterusnya di Kurdistan dengan memberikan respons segera terhadap tindakan itu," kata pengarah IHR Mahmood Amiry-Moghaddam dalam kenyataan pada Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 10:25 AM