MAHER dibebaskan pihak berkuasa Israel selepas melancarkan mogok lapar selama 103 hari. FOTO Agensi
MAHER dibebaskan pihak berkuasa Israel selepas melancarkan mogok lapar selama 103 hari. FOTO Agensi
BERNAMA

Jerusalem: Pihak berkuasa Israel hari ini membebaskan tahanan Palestin Maher al-Akhras yang melancarkan mogok lapar selama 103 hari ketika ditahan tanpa sebarang dakwaan.

"Pihak berkuasa membebaskan Maher al-Akhras dan persiapan dilakukan untuk memindahkannya dari Hospital Israel (Kaplan) ke hospital di Nablus (Najah National) di Tebing Barat utara," kata Ketua Lembaga Urusan Tahanan Pertubuhan Pembebasan Palestin Qadri Abu Abu Bakr memberitahu Agensi Anadolu.

Maher, 49, dari Jenin di Tebing Barat, melancarkan mogok makan selepas ditahan di bawah dasar kejam Israel yang membolehkan pihak berkuasa menahan tahanan lebih daripada satu tahun tanpa perbicaraan.

Dia dipindahkan ke tahanan pentadbiran selama empat bulan dan sepanjang tempoh itu mahkamah enggan membebaskannya meskipun keadaan kesihatannya merosot.

Sekalipun ada tuntutan antarabangsa dan hak asasi manusia selain tahap kesihatan yang kian merosot, Israel mulanya menolak untuk membebaskan Maher dan enggan memindahkannya untuk rawatan di hospital Tebing Barat.

Maher meneruskan mogok laparnya selama 103 hari, sebelum mengakhirinya pada 6 November, berikutan perjanjian dengan pihak berkuasa Israel untuk membebaskannya hari ini.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, jumlah tahanan Palestin di penjara Israel sekitar 4,400 orang, termasuk 39 wanita, 155 kanak-kanak dan 350 tahanan pentadbiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 4:41 PM