KIM Jong Un (tengah kanan) bersama anak perempuannya (tengah kiri) bersama anggota tentera yang terbabit dalam ujian peluru berpandu balistik. FOTO KCNA via KNS/AFP)
KIM Jong Un (tengah kanan) bersama anak perempuannya (tengah kiri) bersama anggota tentera yang terbabit dalam ujian peluru berpandu balistik. FOTO KCNA via KNS/AFP)
Reuters

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata matlamat utama negaranya adalah memiliki kuasa nuklear paling berkuasa di dunia.

Ia selepas pemimpin berkenaan menaikkan pangkat berpuluh-puluh pegawai tentera yang terbabit dalam pelancaran peluru berpandu balistik terbesar Korea Utara baru-baru ini, lapor media kerajaan pada Ahad.

Pengumuman itu dibuat selepas Kim memeriksa ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) Hwasong-17 baharu negara itu, dan berjanji untuk menentang ancaman nuklear Amerika Syarikat (AS) dengan senjata nuklear pada 18 November.

"Membina tenaga nuklear adalah untuk melindungi maruah dan kedaulatan negara dan rakyat, dan 'matlamat utamanya adalah memiliki kuasa strategik paling berkuasa di dunia, kuasa mutlak yang belum pernah berlaku sebelum ini," kata Kim ketika majlis kenaikan pangkat itu.

Beliau menggelar Hwasong-17 sebagai 'senjata strategik terkuat di dunia'.

Katanya, ia menunjukkan keazaman dan keupayaan Korea Utara untuk membina tentera terkuat di dunia.

"Saintis Korea Utara sudah membuat 'lonjakan menakjubkan dalam pembangunan teknologi pemasangan kepala peledak nuklear pada peluru berpandu balistik," kata Kim, tanpa mengulas lanjut.

Sambil bergambar bersama saintis, jurutera, pegawai tentera dan individu lain yang terbabit dalam ujian itu, Kim berkata, beliau menjangkakan mereka akan terus mengembang dan mengukuhkan penghalang nuklear negara pada kadar luar biasa pantas.

Pekerja-pekerja itu yang turut melafazkan sumpah taat setia dan kepercayaan kepada parti pemerintah, berikrar untuk mempertahankan 'kuasa mutlak' parti dan Kim.

Mereka juga berikrar 'peluru berpandu hanya akan terbang ke arah yang ditetapkan'.

Mereka berkata, Kim 'mengajar mereka seorang demi seorang dengan berhati-hati' ketika pembangunan Hwasong-17.

Mampu sampai ke tanah besar AS, pelancaran peluru berpandu itu mendorong AS meminta Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi kenyataan bagi meminta Korea Utara bertanggungjawab atas ujian peluru berpandunya, yang diharamkan oleh resolusi Majlis Keselamatan.

Jawatankuasa Tetap Perhimpunan Rakyat Tertinggi Korea Utara yang menganugerahkan peluru berpandu Hwasong-17 dengan gelaran 'Wira dan Pingat Bintang Emas DPRK dan Darjah Kebesaran Bendera Negara Kelas pertama', KCNA melaporkan dalam kenyataan lain, menggunakan huruf awal nama rasmi negara itu, Republik Demokratik Rakyat Korea.

"(Peluru berpandu itu) dengan jelas membuktikan kepada dunia bahawa DPRK adalah kuasa nuklear sepenuhnya yang mampu menentang ketuanan nuklear imperialis AS dan menunjukkan kekuatannya sebagai negara ICBM paling berkuasa," kata KCNA.

Ujian peluru berpandu itu menunjukkan Korea Utara akan bertindak balas terhadap 'nuklear musuh dan konflik pada masa depan," kata laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 9:29 AM