FOTO menunjukkan simulasi latihan ketenteraan simulasi serangan nuklear di Cholsan, Korea Utara. FOTO KCNA/ KNS / AFP
FOTO menunjukkan simulasi latihan ketenteraan simulasi serangan nuklear di Cholsan, Korea Utara. FOTO KCNA/ KNS / AFP
AFP

Seoul: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengetuai latihan ketenteraan simulasi serangan nuklear dan tembakan peluru berpandu balistik selama dua hari, lapor agensi berita negara KCNA, pada Isnin.

Menurut laporan, Kim berpuas hati dengan latihan yang diadakan bagi unit berkaitan membiasakan diri dengan prosedur dan proses melaksanakan misi serangan nuklear taktikal mereka.

Latihan itu adalah pertunjukan ketenteraan keempat dari Pyongyang dalam tempoh seminggu dan dilakukan ketika Korea Selatan serta Amerika Syarikat (AS) melancarkan gerakan ketenteraan mereka sendiri.

Korea Utara berkata, ia sebagai latihan pencerobohan dan amaran mengenai tindak balas.

Ketua Kakitangan Bersama Seoul berkata, peluru berpandu balistik jarak dekat yang dilepaskan oleh Pyongyang terbang sejauh 800 kilometer sebelum mendarat di Laut Timur, juga dikenali sebagai Laut Jepun.

Mereka melabelkannya sebagai provokasi serius yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan berkata, ia sedang dianalisis oleh perisikan AS dan Korea Selatan.

Tokyo juga mengecam pelancaran itu, begitu juga dengan Komando Indo-Pasifik tentera AS.

Seoul dan Washington meningkatkan kerjasama pertahanan dalam menghadapi ancaman ketenteraan serta nuklear semakin meningkat dari Korea Utara, yang menjalankan beberapa siri ujian senjata terlarang dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Kemungkinan pencerobohan oleh Pyongyang juga mendorong Seoul dan Tokyo meningkatkan kerjasama keselamatan.

Pada Khamis, Pyongyang menguji peluru berpandu balistik antara benua terbesar dan paling berkuasa, Hwasong-17, ujian ICBM kedua tahun ini.

Pelancaran ICBM menyusuli dua peluru berpandu balistik jarak dekat, pada Selasa, dan dua peluru berpandu jelajah strategik ditembak dari sebuah kapal selam, Ahad lalu.

Sementara itu, agensi berita Yonhap melaporkan, Majlis Keselamatan PBB dijangka mengadakan mesyuarat tergempar berhubung pelancaran ICBM atas permintaan Amerika Syarikat dan Jepun, pada Isnin.

Korea Utara mengisytiharkan pihaknya sebagai kuasa nuklear dan Kim, baru-baru ini, menggesa peningkatan pengeluaran senjata termasuk senjata nuklear taktikal serta mengarahkan tenteranya memperhebat latihan bagi persediaan menghadapi perang sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 11:29 AM