KEMBAR berkenaan. FOTO Agensi
KEMBAR berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Dua kembar siam di China, berjaya dipisahkan berikutan pembedahan selama dua setengah jam, baru-baru ini.

Daily Star melaporkan, kembar itu dilahirkan berkongsi tali pusat yang sama, dengan perut bersambung dan baru berusia 40 hari ketika mereka menjalani pembedahan di Hospital Kanak-kanak Universiti Zhejiang di bandar Hangzhou, China.

Selepas pemisahan, kedua-dua bayi menjalani pembedahan sternum, diafragma dan dinding perut.

Rakaman luar biasa menunjukkan kembar siam itu dibawa masuk ke bilik pembedahan kira-kira 9 pagi

Mereka keluar dari bilik pada 11.20 pagi, sebagai bayi yang berasingan.

Kakitangan perubatan juga merakam detik mereka secara rasmi ditandakan sebagai dua individu berasingan apabila masing-masing diberi tag mereka sendiri.

Pengarah Hospital Kanak-Kanak Universiti Zhejiang, yang menyelia pembedahan itu berkata, kembar itu stabil pada masa ini.

Perut kembar itu masing-masing dilaporkan hampir sama seperti bayi biasa selepas pembedahan susulan.

Pasukan perubatan berkata, mereka optimis mengenai pemulihan kembar itu, walaupun kedua-duanya masih berada di unit rawatan rapi.

Salah seorang daripada mereka menghidap penyakit jantung kongenital yang kompleks tetapi masih dalam keadaan stabil.

Doktor dapat menimbang bayi untuk kali pertama dalam hidup mereka sekarang mereka dipisahkan.

Seorang mempunyai berat 2.2 kilogram, manakala seorang lagi, tiga kilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 2:17 PM