Suraya Roslan


INSTITUT Jantung Negara (IJN) mencatatkan sejarah apabila berjaya melakukan pembedahan injap jantung terbalik terhadap seorang bayi perempuan yang juga kembar siam pada Mei lalu.

Bayi diberi nama Aleesa Hana Mohd Saiful Riduan yang kini berusia tiga bulan dilahirkan pada 19 Februari lalu di Sabah didapati bercantum di bahagian dada hingga ke pusat dengan adiknya, Aleeya Hana.

Bagaimanapun, Aleeya disahkan sempurna namun Aleesa dikesan mempunyai masalah injap jantung terbalik atau transposition great arteries (TGA).

Ketua Jabatan Pusat Jantung Pediatrik dan Kongenital Institut Jantung Negara (IJN), Dr Hasri Samion berkata, bayi berkenaan berjaya dipisahkan di Hospital Likas, Sabah pada 6 Mac lalu ketika berusia dua minggu dengan kerjasama semua pakar pediatrik dan jantung dari IJN, Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Likas.

“Sebaik dipisahkan, kita mendapati Aleesa mempunyai masalah TGA iaitu dua saluran darah utama ini saling bertukar kedudukan; arteri pulmonari bersambung ke jantung kiri dan vena pulmonari ke jantung kanan.

“Ini menyebabkan wujudnya dua aliran darah berasingan. Darah yang kurang oksigen dihantar ke badan. Manakala darah kaya oksigen pula dibawa balik masuk ke paru-paru. Kekurangan oksigen mengakibatkan kulit pesakit menjadi biru ketika lahir.

“Bagi jantung normal, darah beroksigen masuk ke jantung kiri dan dihantar ke seluruh badan melalui vena pulmonari. Darah yang digunakan oksigennya dari badan masuk ke arteri pulmonari dan dihantar ke jantung kanan,” katanya pada sidang media di IJN, hari ini.

Turut hadir Konsultan Pediatrik Kardiologi (Intensif) Dr Khairul Faizah Mohd Khalid dan Konsultan Pakar Bedah Kardiotorik Dr S Sivakumar.

Hasri berkata, kejayaan pembedahan itu mencatatkan sejarah dalam negara berikutan pertama kali dilakukan terhadap bayi kembar siam dan memerlukan kerjasama semua pihak di Sabah, IJN serta HKL.

“Jika bukan bayi kembar siam pun prosedur pembedahan TGA sudah rumit, inikan pula membabitkan kembar siam. Disebabkan bayi bercantum di bahagian dada hingga ke bawah, pembedahan TGA tidak dapat dilakukan sehingga mereka dipisahkan.

“Jadi, ketika mereka berusia dua minggu, pembedahan pemisahan berjaya dilakukan dan kebiasaannya selepas pembedahan besar dibuat sepatutnya bayi memerlukan masa untuk luka berkenaan sembuh.

“Disebabkan itu ketika menunggu keadaan Aleesa betul-betul stabil iaitu berusia tiga bulan namun sangat berisiko tinggi. Kebiasaannya bayi menghidap TGA akan dibedah ketika usia kurang sebulan baru dapat kejayaan yang tinggi, tetapi kerana Aleesa kembar siam dan keadaan jantungnya semakin kritikal, pembedahan perlu dilakukan segera.

Sementara itu, ibu kepada bayi berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia mengetahui mengandungkan pasangan bayi kembar siam ketika kandungan berusia 22 minggu.

“Selepas melahirkan mereka, saya dimaklumkan Aleesa mempunyai masalah jantung dan pembedahan pemisahan terpaksa dilakukan pada 6 Mac lalu di Hospital Likas.

“Saya berharap Aleesa segera sembuh dan sihat seperti adiknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 4:13 PM
DR Sivakumar Sivalingam (tengah) bersama Dr Hasri Samion (kiri) dan Dr Khairul Faizah Mohd Khalid (kanan) pada sidang media di IJN, hari ini. FOTO Aizuddin Saad
DR Sivakumar Sivalingam (tengah) bersama Dr Hasri Samion (kiri) dan Dr Khairul Faizah Mohd Khalid (kanan) pada sidang media di IJN, hari ini. FOTO Aizuddin Saad