KEMBAR siam dipisahkan doktor di Turki. FOTO agensi
KEMBAR siam dipisahkan doktor di Turki. FOTO agensi
Agensi

Istanbul: Sepasukan pakar perubatan di Turki berjaya menjalankan satu pembedahan selama 11 jam bagi memisahkan kembar siam perempuan yang lahir dalam keadaan cantuman luar biasa.

Elif dan Nil dilahirkan di Cerrahpasa Hospital, Istanbul pada 4 November lalu dalam keadaan kedua-duanya bercantum.

Anggota kanan pasukan pembedahan itu, Profesor Gonca Topuzlu Tekant berkata, bayi berkenaan dipisahkan lebih awal kerana Elif mengalami masalah kecacatan jantung kongenital.

"Bayi Elif harus menjalani pembedahan jantung secepat mungkin selepas dia pulih dari kesan pembedahan pemisahan.

"Biasanya, pembedahan pemisahan dilakukan antara lapan hingga sepuluh bulan selepas kelahiran.

"Tetapi kecacatan jantung Elif menyebabkan pembedahan pemisahan dilakukan awal," katanya kepada TRT World.

Katanya, keadaan cantuman bayi siam itu luar biasa dengan kadar kejadian antara satu daripada 500,000 orang di dunia.

"Mereka terpaksa dilahirkan awal pada 35 minggu enam hari daripada kehamilan biasa, 40 minggu menerusi kelahiran secara pembedahan.

"Ini kerana semakin lama mereka membesar dalam rahim, semakin tinggi risikonya.

"Kelebihan Elif dan Nil berbanding kembar siam lain, mereka mempunyai jantung yang terpisah dengan hanya membran jantung dan hati yang bercantum," katanya.

Tekant berkata, selepas pembedahan pemisahan, kedua-dua bayi menunjukkan perkembangan memberangsangkan.

"Kami berikan mereka cairan IV, tetapi kini kami juga mula memberi susu ibunya.

"Mereka menunjukkan perkembangan baik walaupun baru lapan hari menjalani pembedahan pemisahan itu.

"Saya jangkakan si adik, Nil akan sembuh lebih cepat dan dibenarkan keluar hospital tetapi saya juga mengharapkan Elif pun begitu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 1:07 PM