AKTIVITI YouTuber di kampung berkenaan.
AKTIVITI YouTuber di kampung berkenaan.
Agensi

New Delhi: Sebuah perkampungan India di bandar Raipur, menjadi terkenal selepas 1,000 daripada 3,000 penduduknya menjadi YouTuber.

Metro UK melaporkan, ia menjadikan Tulsi, sebuah kampung di Chhattisgarh dekat tengah India mendapat jolokan 'kampung YouTube India'.

Difahamkan, ada 40 saluran YouTube dikendalikan penduduk kampung berkenaan.

Berdasarkan rakaman pada Selasa, penduduk kampung dilihat merakam mereka yang menaiki traktor, serta kanak-kanak berlumba di jalanan.

Sebahagian daripada mereka menggunakan dron untuk merakam video, manakala individu lain membuat lakaran untuk menampilkan ramai penduduk tempatan membuat persembahan atau membantu dalam aspek teknikal.

"Seperti yang anda boleh lihat di pelusuk kampung kami, semua peringkat umur adalah artis dan YouTuber.

"Jadi semua orang memanggil kampung kami sebagai 'kampung YouTube'," kata seorang penduduk setempat, Chetan Nayak.

"Kebanyakannya (penduduk) mempunyai saluran YouTube mereka sendiri.

"Di saluran YouTube, kami memuat naik video komedi, program berasaskan lagu dan perlumbaan.

"Hampir semua jenis artis ada di sini'," jelas seorang lagi penduduk yang menjadi YouTuber, Aditya Vaghil.

Rata-rata penduduk kampung menjadi Youtuber, sepenuh masa.

Hasilnya, ada dalam kalangan penduduk mendakwa menerima pendapatan dua atau tiga kali ganda berbanding gaji yang mereka peroleh sebelum menjadi YouTuber.

YouTuber paling muda di kampung berkenaan berumur 15 tahun, sementara paling tua adalah nenek berusia 85 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 11:24 AM