FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Reuters

Manila: Filipina akan menghentikan operasi 175 firma perjudian luar pesisir dan menghantar pulang kira-kira 40,000 pekerja China, kata seorang pegawai kementerian kehakiman, baru-baru ini.

Ia sebahagian daripada tindakan keras terhadap industri permainan dalam talian.

Sektor permainan dalam talian muncul di Filipina pada 2016, dan berkembang dengan pesat apabila pengendali memanfaatkan undang-undang perjudian liberal negara untuk menyasarkan pelanggan di China yang mana perjudian diharamkan.

Pada kemuncaknya, pengendali perjudian luar pesisir Filipina, atau Pogo, menggaji lebih 300,000 pekerja China, tetapi wabak dan cukai yang lebih tinggi memaksa ramai untuk beroperasi di tempat lain.

"Tindakan itu dicetuskan oleh laporan pembunuhan, penculikan dan jenayah lain yang dilakukan oleh warga China terhadap rakan senegara," kata jurucakap kementerian kehakiman Jose Dominic Clavano.

Pogo disasarkan untuk ditutup, mempunyai lesen yang sama ada sudah tamat tempoh atau dibatalkan, kerana pelanggaran seperti tidak membayar yuran kerajaan, kata Clavano, sambil menambah pengusiran pekerja China itu akan bermula bulan ini.

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan menjana 7.2 bilion peso (kira-kira RM567.8 juta) pada 2020 dan 3.9 bilion peso (kira-kira RM307.5 juta) tahun lalu dalam yuran Pogo saja.

Pakar ekonomi menganggarkan jumlah yang jauh lebih besar dibelanjakan untuk cukai, perbelanjaan pekerja dan sewa pejabat.

Kedutaan China di Manila dalam satu kenyataan berkata Beijing menyokong pengusiran dan tindakan keras terhadap jenayah berkaitan Pogo, sambil menambah kerajaan tegas menentang dan mengambil langkah tegas untuk memerangi perjudian.

Pengawal selia Filipina, yang baru-baru ini mengatakan terdapat 30 firma Pogo berlesen berbanding 60 sebelum wabak, tidak segera bertindak balas terhadap permintaan untuk ulasan.

Sementara itu, perunding hartanah, Leechiu Property Consultants menganggarkan bahawa pengeluaran sepenuhnya industri Pogo akan meninggalkan kekosongan 1.05 juta meter persegi ruang pejabat , satu pertiga daripada saiz Central Park, New York dan 8.9 bilion peso (kira-kira RM701.8 juta) sebagai sewa tahunan yang diketepikan.

Sektor itu menggunakan khidmat 201,000 warga China dan 111,000 Filipina, menurut data Leechiu, yang menganggarkan Pogo menyumbang 190 bilion peso (kira-kira RM15 bilion) kepada ekonomi setiap tahun serta memberi kelebihan kepada sektor hartanah dan runcit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2022 @ 10:46 AM