Kakitangan kesihatan menjalankan protes menggesa kerajaan meluluskan bayaran dan manfaat tambahan di Manila. - FOTO AFP
Kakitangan kesihatan menjalankan protes menggesa kerajaan meluluskan bayaran dan manfaat tambahan di Manila. - FOTO AFP
AFP

Manila: Filipina kini berdepan kekurangan jururawat selepas petugas kesihatan sedia ada bergelut menguruskan pesakit berikutan semakin ramai petugas dijangkiti Covid-19 atau meletak jawatan.

Malah, sebelum munculnya pandemik Covid-19, negara berkenaan sudah berdepan kekurangan jururawat, yang kini dilihat semakin meruncing.

Jabatan Kesihatan melaporkan pengurangan lebih 100,000 jururawat, memaksa kakitangan yang tinggal terpaksa bekerja dalam tempoh panjang dengan bayaran sedikit.

"Mereka keletihan dan lesu.

"Ketika pandemik ini berlaku, kami memiliki hampir 200 jururawat namun, pada September ini hanya 63 yang tinggal," kata Lourdes Banaga, pengarah jururawat di Lipa Medix Medical Center di wilayah Batangas.

Angka rasmi menyaksikan 75,000 jururawat bekerja di hospital kerajaan dan swasta di negara ini namun, jumlah yang diperlukan adalah 109,000.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Jururawat Filipina, Maristela Abenojar berkata, pandemik Covid-19 memburukkan lagi masalah kekurangan jururawat walaupun negara ini antara pengeksport petugas kesihatan terbesar di dunia.

"Kekurangan petugas yang kronik disebabkan gaji yang tidak setimpal. Sebahagian besar jururawat kontrak menerima gaji 22,000 peso (kira-kira RM1,833) tanpa elaun kecemasan. Mereka yang bekerja di sektor swasta menerima 8,000 peso (kira-kira RM667)," katanya.

Difahamkan, seorang jururawat baharu menerima gaji 33,575 peso (kira-kira RM2,799).

Ketika ini, kebanyakan jururawat mula berputus asa dengan kira-kira 40 peratus jururawat hospital swasta meletakkan jawatan ketika pandemik ini bermula, menurut Persatuan Hospital Swasta Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 1:32 PM