PENGAWAL keselamatan mengawal bangunan Parlimen di Colombo. FOTO Reuters
PENGAWAL keselamatan mengawal bangunan Parlimen di Colombo. FOTO Reuters
AP

Colombo: Ahli parlimen Sri Lanka mula bertemu semalam untuk memilih pemimpin baharu untuk berkhidmat, sepanjang tempoh yang ditinggalkan presiden yang melarikan diri ke luar negara dan meletak jawatan selepas protes besar-besaran berhubung kejatuhan ekonomi negara.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri Sri Lanka mengangkat sumpah sebagai presiden sementara sehingga parlimen memilih pengganti kepada Gotabaya Rajapaksa yang penggalnya sepatutnya berakhir pada 2024.

Speaker Parlimen Mahinda Yapa Abeywardana menjanjikan proses politik yang pantas dan telus yang perlu dilakukan dalam masa seminggu.

Presiden baharu boleh melantik perdana menteri baharu, yang kemudiannya perlu diluluskan dalam parlimen.

Setiausaha Agung Parlimen, Dhammika Dasanayake berkata, dalam sesi ringkas semalam, pencalonan untuk pemilihan presiden baharu akan didengar pada Selasa, dan jika terdapat lebih daripada seorang calon, penggubal undang-undang akan mengundi pada Rabu.

Dasanayake juga membaca surat peletakan jawatan Gotabaya dengan lantang di Parlimen.

Dalam surat itu, Rajapaksa berkata, beliau meletakkan jawatan berikutan permintaan rakyat Sri Lanka dan pemimpin parti politik.

Beliau menyatakan, krisis ekonomi sedang melanda walaupun ketika dia memegang jawatan pada 2019 dan diburukkan lagi dengan penutupan yang kerap semasa wabak koronavirus.

Keselamatan di sekitar bangunan Parlimen di ibu negara, Colombo, dipertingkatkan semalam dengan tentera bersenjata berkawal, dan jalan berhampiran bangunan itu ditutup kepada orang ramai.

Dalam satu kenyataan televisyen pada Jumaat, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata, beliau akan memulakan langkah untuk menggubal perlembagaan untuk mengekang kuasa presiden dan mengukuhkan parlimen, memulihkan undang-undang dan ketenteraman serta mengambil tindakan undang-undang terhadap 'pemberontak'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 10:09 AM