Agensi

Colombo: Presiden Gotabaya Rajapaksa yang meninggalkan kediaman rasminya semalam untuk melarikan diri daripada penunjuk perasaan, bersetuju untuk meletak jawatan, minggu depan.

Perkara itu diumum jurucakap parlimen, Mahinda Abeywardana.

"Untuk memastikan peralihan (kuasa) yang aman, presiden bersetuju meletak jawatan pada 13 Julai.

"Saya dengan ini meminta rakyat supaya menghormati undang-undang dan kekalkan keamanan," kata Abeywardana dalam kenyataan yang disiarkan stesen televisyen.

Ribuan penunjuk perasaan menyerbu kediaman Rajapaksa di ibu negara semalam, susulan kemarahan rakyat berhubung krisis ekonomi terburuk negara itu dalam tempoh tujuh dekad.

PENUNJUK perasaan berenang dalam kolam di kompleks kediaman presiden. FOTO AFP.
PENUNJUK perasaan berenang dalam kolam di kompleks kediaman presiden. FOTO AFP.

Selepas menyerbu pekarangan kediaman, penunjuk perasaan yang bersiaran langsung di media sosial turut menceroboh bilik-bilik dan sebahagian mereka melompat ke dalam kolam.

Presiden sempat melarikan diri sebelum 'pencerobohan' itu dan dilapor dibawa keluar pasukan keselamatan ke tempat selamat.

Penunjuk perasaan juga memecah masuk kediaman peribadi Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe, pemimpin utama yang dikatakan bakal mengganti tempat Rajapaksa.

Wickremesinghe dilapor dipindahkan ke lokasi selamat, menurut sumber kerajaan kepada Reuters.

TUNJUK perasaan yang terburuk pernah berlaku di Sri Lanka. FOTO AFP.
TUNJUK perasaan yang terburuk pernah berlaku di Sri Lanka. FOTO AFP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 11:55 AM