PESERTA demonstrasi dan kenderaan berat yang menghalang laluan di pusat bandar Ottawa. FOTO Reuters.
PESERTA demonstrasi dan kenderaan berat yang menghalang laluan di pusat bandar Ottawa. FOTO Reuters.
AFP

Ottawa: Beratus lori dan ribuan orang menyekat laluan menghala pusat bandar Ottawa pada Sabtu sebagai sebahagian daripada 'Konvoi Kebebasan' untuk membantah syarat vaksin yang diperlukan bagi menyeberangi sempadan Amerika Syarikat (AS).

Dengan mengibarkan bendera Kanada, sepanduk menuntut kebebasan dan melaung slogan menentang Perdana Menteri Justin Trudeau, kumpulan itu disertai ribuan penunjuk perasaan yang berang bukan hanya terhadap sekatan Covid-19, bahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Bunyi bingit kedengaran apabila pemandu menekan enjin kenderaan masing-masing dan membunyikan hon tanpa henti.

Mereka berarak menghampiri Parlimen dalam cuaca sejuk, dengan golongan muda melaungkan slogan sementara warga emas mengetuk periuk dan kuali tanda protes.

RIBUAN peserta demonstrasi di luar Parlimen Kanada di Ottawa. FOTO AFP.
RIBUAN peserta demonstrasi di luar Parlimen Kanada di Ottawa. FOTO AFP.

Media Kanada melaporkan perdana menteri dan keluarganya sudah diiring keluar daripada kediaman dan dibawa ke lokasi rahsia di ibu negara, sementara kemarahan penunjuk perasaan kebanyakannya ditujukan kepada Trudeau.

"Saya mahu ia dihentikan - semua langkah tidak wajar," kata seorang daripada peserta demonstrasi, Philippe Castonguay, 31, di luar bangunan Parlimen.

Dia memandu tujuh jam dari wilayah Quebec utara untuk menyatakan perasaannya: "keperluan vaksin membawa kita ke arah masyarakat baharu yang tidak pernah kita undi," katanya.

Protes itu bermula minggu lalu di barat Kanada membabitkan puluhan pemandu lori yang berkonvoi dari Vancouver ke Ottawa sebagai membantah syarat vaksin khususnya membabitkan mereka.

Kedua-dua negara, Kanada dan AS mengenakan syarat itu pada pertengahan Januari, menjejaskan pemandu yang melalui sempadan 5,500 batu (9,000 kilometer) iaitu terpanjang di dunia.

Zon sekitar Parlimen ditutup pada hujung minggu dan Ketua Polis Ottawa, Peter Sloly menyifatkan situasi di kawasan berkenaan sebagai unik, berisiko dan berkepentingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 11:14 AM