Seorang pekerja mengangkat alat penyejuk yang mendapat banyak permintaan berikutan cuaca panas. - FOTO EPA
Seorang pekerja mengangkat alat penyejuk yang mendapat banyak permintaan berikutan cuaca panas. - FOTO EPA
Agensi

New Delhi: Jabatan Meteorologi India (IMD) sudah mengeluarkan amaran gelombang haba teruk berikutan peningkatan suhu.

BBC News melaporkan, cuaca panas melampau itu dijangka boleh mengancam jutaan nyawa dan mata pencarian.

"Suhu naik dengan cepat di negara ini, dan meningkat lebih awal daripada biasa," kata Perdana Menteri Narendra Modi kepada ketua menteri negeri pada Rabu.

IMD meramalkan peningkatan beransur-ansur dalam suhu maksimum sebanyak 2 hingga 4 darjah Celsius di kebanyakan bahagian utara-barat dan tengah India minggu ini, dengan tiada perubahan besar selepas itu.

Gelombang haba adalah perkara biasa di India, terutamanya pada Mei dan Jun.

Musim panas bermula awal tahun ini dan suhu tinggi bermula Mac dengan purata suhu maksimum pada bulan itu adalah yang tertinggi dalam 122 tahun.

Gelombang haba juga mula berlaku pada bulan berkenaan.

Sementara itu, Pusat Sains dan Alam Sekitar memaklumkan gelombang panas awal tahun ini membabitkan 15 negeri, termasuk di bahagian utara Himachal Pradesh, yang terkenal dengan suhu yang menyenangkan.

Minggu ini, suhu di ibu negara dijangka melepasi 44 darjah Celsius.

Naresh Kumar, seorang saintis kanan di IMD, mengaitkan gelombang haba semasa kepada faktor atmosfera tempatan.

"Gangguan barat yang lemah - ribut yang berasal dari wilayah Mediterranean bermaksud sedikit hujan sebelum monsun di barat laut dan tengah India.

"Antisiklon iaitu kawasan tekanan atmosfera tinggi di mana udara tenggelam - juga membawa kepada cuaca panas dan kering di bahagian barat India pada bulan Mac.

"Petani berkata kenaikan suhu di luar jangka menjejaskan penuaian gandum mereka, satu perkembangan yang berpotensi membawa kesan global memandangkan gangguan bekalan akibat perang Ukraine," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 5:23 PM