Orang ramai yang menaiki kenderaan terbuka duduk di bawah kain terpal untuk berlindung daripada hujan di Dharmsala, India. FOTO AP
Orang ramai yang menaiki kenderaan terbuka duduk di bawah kain terpal untuk berlindung daripada hujan di Dharmsala, India. FOTO AP
Agensi

New Delhi: India mengalami lebih daripada 200 hari gelombang haba pada awal musim panas tahun ini, lebih daripada lima kali ganda daripada yang direkodkan pada 2021, menurut data kerajaan negara itu.

Tahun lalu, terdapat hanya 36 hari dengan gelombang haba berbanding 203 hari dengan gelombang haba pada tahun ini.

India menyaksikan kemunculan awal gelombang panas yang kuat pada bulan Mac dan April yang membawa kepada kesan besar terhadap pengeluaran pertanian.

Gelombang haba tahun ini adalah paling buruk dalam sejarah 122 tahun.

Jabatan Meteorologi India (IMD) mengisytiharkan gelombang haba jika suhu stesen maksimum mencapai sekurang-kurangnya 40 darjah Celsius di kawasan dataran dan sekurang-kurangnya 30 darjah Celsius di kawasan berbukit.

Tahun ini, India menyaksikan amaran gelombang haba pertamanya pada separuh pertama April dengan suhu memecahkan semua rekod sebelumnya.

"India mengalami gelombang haba yang berpanjangan pada bulan Mac dan April 2022. Justeru, purata suhu maksimum Mac 2022 adalah yang tertinggi untuk seluruh India (33.1 darjah Celsius) dan barat laut India (30.7 darjah Celsius)," menurut pegawai rasmi kerajaan.

Fenomena serupa mencengkam sebahagian besar Asia dan Eropah dengan United Kingdom merekodkan suhu sekitar 40 darjah Celsius yang tidak pernah berlaku sebelum ini, malah China dan Jepun juga turut bergelut dengan cuaca panas terik.

Terdapat hubungan yang ketara antara kematian manusia dan tekanan haba.

Tempoh gelombang haba yang berpanjangan memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia dan pengeluaran pertanian di India.

Puluhan kes kematian dilaporkan pada Mac dan April lalu.

Laporan berasingan daripada Majlis Penyelidikan Pertanian India yang diterbitkan awal bulan Julai juga mendedahkan tanaman, buahan, sayuran dan haiwan terjejas teruk semasa musim panas di sembilan negeri.

Ia termasuk di Punjab, Haryana, Uttar Pradesh, Madhya Pradesh, Bihar dan Maharashtra serta negeri berbukit seperti Jammu dan Kashmir dan Himachal Pradesh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 6:30 AM