TENTERA Israel berkawal di salah satu pintu masuk ke Kota Lama Baitulmaqdis. FOTO AFP
TENTERA Israel berkawal di salah satu pintu masuk ke Kota Lama Baitulmaqdis. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Polis Israel memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa ketika jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Subuh, dua hari selepas ratusan jemaah ditahan di masjid.

Pihak berkuasa Israel berkata, mereka memasuki kawasan itu pada Ahad hanya untuk melakukan rondaan rutin ke tapak suci itu.

Bagaimanapun, rakyat Palestin menyekat kemaraan Israel dengan meletak bongkah batu sebagai halangan daripada kawasan itu diceroboh.

Polis membebaskan rakyat Palestin untuk keluar dari kawasan luas di luar masjid, manakala berpuluh-puluh lagi masih kekal di dalam.

Petugas perubatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 19 orang mengalami kecederaan susulan pencerobohan terbaru itu.

Tiga individu sudah dikejarkan ke hospital selepas dipukul dan dilontar peluru getah menurut Bulan Sabit Merah Palestin.

Organisasi itu berkata, pihaknya dihalang untuk masuk ke kawasan berkenaan namun berjaya membantu mereka yang tercedera berhampiran Bab al-Asbat.

Sembilan orang ditahan polis selepas rakyat Palestin memecahkan cermin dua bas yang membawa pelawat Yahudi ke masjid berkenaan.

Wartawan Al Jazeera, Natasha Ghoneim yang melaporkan dari Baitulmaqdis Timur berkata, serbuan berlaku dalam tempoh tiga jam ketika pelawat bukan Islam dibenarkan melawat kawasan yang juga tempat ketiga paling suci bagi umat Islam.

Tekanan semakin memuncak selepas pelawat Yahudi menawarkan wang tunai kepada mereka yang boleh mengorbankan kambing di dalam Masjid Al-Aqsa antara cubaan menimbulkan provokasi.

"Keadaan ini tidak berlaku namun tular di laman sosial dan meningkatkan lagi tekanan," kata Ghoneim.

Pihak berkuasa Palestin pada Ahad menyalahkan Israel yang menjadi punca ketegangan memuncak di Masjid Al-Aqsa.

"Kami menyeru pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk bersuara dan menghentikan pencerobohan ini yang akan memusnahkan seluruh wilayah," kata jurucakap pihak berkuasa, Nabil Abu Rudeineh dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita, Wafa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 10:48 AM