PENDUDUK Palestin menziarahi perkarangan Masjid al-Aqsa. FOTO fail AFP
PENDUDUK Palestin menziarahi perkarangan Masjid al-Aqsa. FOTO fail AFP
Agensi

Gaza: Hamas memberi amaran kepada Israel bahawa sebarang perubahan terhadap status quo di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur, "akan mengubah kawasan itu menjadi gempa bumi".

Sayap Tentera Hamas, Timbalan Ketua Kakitangan Briged Al-Qassam, Marwan Issa membuat amaran itu dalam wawancara dengan televisyen Al-Aqsa, saluran satelit yang berpangkalan di Gaza yang dikendalikan oleh pergerakan Hamas.

Xinhua melaporkan, kenyataan itu dibuat di tengah-tengah amaran peningkatan ketegangan antara kedua-dua pihak terutama di Baitulmaqdis dan perkarangan Masjid Al-Aqsa, ketika bulan suci Ramadan dan perayaan Yahudi, Paskah, semakin hampir.

"Tiada proses politik, dan musuh (Israel) membatalkan perjanjian Oslo (yang ditandatangani antara Israel dan Palestin pada 1993), supaya hari-hari mendatang akan penuh dengan peristiwa dan insiden," kata Issa.

Beliau menyeru untuk "menyalakan dan menyokong tindakan penentangan di seluruh Palestin, terutamanya di Tebing Barat dan Baitulmaqdis".

"Kami akan mempertahankan rakyat Palestin dengan segala kekuatan apabila campur tangan langsung diperlukan," katanya.

Pada April 2022, pekarangan Masjid Al-Aqsa menyaksikan pertempuran ganas antara jemaah Palestin dan pasukan polis Israel apabila orang Yahudi melawat tapak suci itu.

Puluhan jemaah Palestin cedera.

Ancaman Hamas juga berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, 84 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, sejak Januari, manakala 14 warga Israel terbunuh dalam tempoh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 10:46 AM