FOTO fail menunjukkan sekumpulan wanita ketika menyertai demonstrasi antirampasan kuasa di Yangon pada 14 Julai 2021. FOTO Reuters
FOTO fail menunjukkan sekumpulan wanita ketika menyertai demonstrasi antirampasan kuasa di Yangon pada 14 Julai 2021. FOTO Reuters
AFP

Naypyidaw: Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada mendedahkan sekatan yang diselaraskan ke atas pegawai Myanmar ketika junta melancarkan pertuduhan baru terhadap Aung San Suu Kyi setahun selepas menggulingkan pemimpin itu dalam rampasan kuasa.

Suu Kyi, 76, ditahan sejak rampasan kuasa 1 Februari tahun lalu yang mencetuskan protes besar-besaran dan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat dengan lebih 1,500 orang awam terbunuh, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Junta tentera kini mendakwanya kerana didakwa mempengaruhi pegawai pilihan raya ketika pilihan raya 2020, kata sumber, di samping pertuduhan sebelumnya, termasuk melanggar undang-undang rahsia rasmi negara.

Jika disabitkan dengan semua pertuduhan, pemenang Nobel itu boleh berdepan hukuman penjara lebih 100 tahun.

Menjelang ulang tahun setahun rampasan kuasa itu hari ini, junta memberi amaran mengadakan protes atau berkongsi propaganda terhadap tentera boleh membawa kepada pertuduhan di bawah undang-undang antikeganasan.

AS menandakan satu tahun sejak rampasan kuasa dengan meletakkan sekatan ke atas Peguam Negara Thida Oo, Ketua Hakim Negara Tun Tun Oo dan Pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Tin Oo, yang dikatakan terbabit dalam pendakwaan "bermotif politik" ke atas Suu Kyi.

"Kami sedang menyelaraskan tindakan ini dengan United Kingdom dan Kanada... untuk menggalakkan lagi akauntabiliti bagi rampasan kuasa dan keganasan yang dilakukan oleh rejim," kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken.

"Amerika Syarikat akan terus... menangani pencabulan hak asasi manusia dan menekan rejim untuk menghentikan keganasan, membebaskan semua yang ditahan secara tidak adil, membenarkan akses kemanusiaan tanpa halangan, dan memulihkan laluan Burma kepada demokrasi," tambahnya menggunakan nama bekas Myanmar.

Junta membatalkan keputusan pilihan raya 2020 pada Julai tahun lalu, mengatakan mereka menemui kira-kira 11.3 juta kes penipuan.

Pemantau bebas berkata, pengundian sebahagian besarnya adalah bebas dan adil.

Junta berjanji untuk mengadakan satu lagi pilihan raya menjelang Ogos 2023 jika kestabilan di negara itu yang kini terbahagi oleh pertempuran antara tentera dan pejuang antirampasan kuasa dipulihkan.

Memetik "keganasan yang tidak terkata terhadap orang awam," menjejaskan kestabilan serantau dan rasuah yang "berleluasa", Presiden Joe Biden berkata dalam satu kenyataan beliau bekerjasama dengan sekutu supaya pihak terbabit, bertanggungjawab.

Biden dalam satu kenyataan berkata, rejim tentera harus membebaskan pemimpin politik termasuk Suu Kyi, membenarkan kerja-kerja kemanusiaan "akses tanpa halangan" dan "mengembalikan Burma ke landasan demokrasinya."

"Selagi rejim terus menafikan rakyat Burma suara demokrasi mereka, kami akan terus mengenakan kos lanjut ke atas tentera dan penyokongnya," Biden memberi amaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Februari 2022 @ 10:18 AM