GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Yangon: Seorang banduan terbunuh dan lebih 60 cedera selepas rusuhan tercetus di penjara Myanmar di barat Yangon, kata junta pada Sabtu.

Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak kerajaan awam Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada Februari 2021, menamatkan tempoh singkat demokrasi negara Asia Tenggara itu.

Rusuhan di penjara di Pathein bermula selepas pengawal merampas telefon bimbit daripada seorang banduan pada malam Khamis dan mengambil tindakan tatatertib, kata junta dalam satu kenyataan.

Kira-kira 70 banduan melarikan diri dari sel mereka dan merosakkan harta benda pada pagi Jumaat.

Banduan menggunakan kayu, batu-bata dan kepingan simen untuk menyerang pasukan keselamatan, kata junta.

Pihak berkuasa cuba mengawal keadaan tetapi rundingan gagal dan mereka terpaksa menggunakan kekerasan.

"Pihak berkuasa melepaskan tembakan untuk menyuraikan keadaan dan mengawal rusuhan," kata kenyataan itu.

Junta berkata seorang banduan terbunuh "di tengah-tengah pertempuran" dan 63 banduan cedera bersama dua polis dan sembilan pengawal.

Media tempatan menyifatkan banduan yang mati itu sebagai tahanan politik dan BBC Burma berkata dia didakwa atas kesalahan keganasan.

Junta memulakan siasatan atas insiden itu.

Minggu lalu, junta mengumumkan akan membebaskan lebih 7,000 banduan bagi menandakan ulang tahun ke-75 kemerdekaan Myanmar daripada Britain.

Lebih 2,700 orang terbunuh sejak tentera merampas kuasa dan lebih 13,000 orang ditahan sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap perbezaan pendapat, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Pada Julai tahun lalu, rejim itu menghukum mati empat banduan termasuk bekas ahli parlimen Phyo Zeya Thaw dan aktivis demokrasi Kyaw Min Yu -- lebih dikenali sebagai "Jimmy".

Ia merupakan hukuman mati pertama oleh Myanmar dalam tempoh sekitar 30 tahun dan mencetuskan kecaman di seluruh dunia.

Human Rights Watch berkata penjara Myanmar terkenal dengan keadaan yang keras dan didakwa menggunakan penyeksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 6:26 PM