AUNG San Suu Kyi. FOTO fail AFP
AUNG San Suu Kyi. FOTO fail AFP
AFP

Yangon: Pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi bakal berdepan dengan pertuduhan baharu daripada junta tentera.

Pada malam Rabu, stesen penyiaran milik junta menyiarkan rakaman seorang ahli perniagaan mendakwa memberi AS$550,000 (kira-kira RM2.05 juta) kepada Suu Kyi, dalam tempoh beberapa tahun.

Maung Weik berkata, dia mendermakan wang kepada individu kanan dalam kerajaan untuk kebaikan kepada perniagaannya.

"Suu Kyi melakukan rasuah dan (pihak berkuasa) sedang bersedia untuk mendakwanya mengikut undang-undang rasuah," kata penyampai di dalam siaran berkenaan.

Minggu lalu, jurucakap junta berkata, seorang ketua menteri mengakui memberikan Suu Kyi wang AS$600,000 (kira-kira RM2.46 juta) dan lebih daripada 10 kilogram jongkong emas.

Bagaimanapun, peguam Suu Kyi menafikan semua dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, Suu Kyi, 75, berdepan tuduhan jenayah tidak masuk akal apabila didakwa memiliki walkie-talkies tidak berlesen.

Dia juga didakwa kerana melanggar undang-undang komunikasi di samping melanggar peraturan pencegahan COVID-19 apabila berkempen ketika pilihan raya tahun lalu.

Beliau turut didakwa atas dua lagi pertuduhan tidak masuk akal iaitu memiliki walkie-talkies tidak berlesen dan cuba menyemarakkan huru-hara,

Pada 1 Februari lalu, tentera merampas kuasa selepas menahan Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Tentera Myanmar kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Susulan itu, demonstrasi tercetus di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 4:02 PM