AUNG San Suu Kyi. FOTO fail AP
AUNG San Suu Kyi. FOTO fail AP
BERNAMA

Yangon: Pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi bakal menjalani dua lagi hukuman penjara tiga tahun secara serentak atas pertuduhan rasuah pada Rabu.

Ini adalah sabitan ke-14 buat Suu Kyi dengan jumlah tempoh penjaranya kini mencecah 26 tahun sejak tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari 2021.

Wanita itu dilaporkan masih berdepan lima lagi pertuduhan, lapor Agensi Anadolu memetik laman sesawang berita Myanmar Now.

"Sabitan itu berkaitan dengan dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan Maung Weik pada Mac 2021, dalam keterangan yang direkodkan oleh junta dengan menuduh Suu Kyi menerima rasuah lebih daripada AS$550,000 pada empat kali pertemuan mereka antara 2018 dan 2020," kata laporan itu.

Bulan lalu, Suu Kyi dan penasihat ekonominya yang juga warga Australia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan melanggar akta rahsia rasmi.

Sebelum ini, mahkamah tentera sudah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Suu Kyi atas tuduhan penipuan dalam pilihan raya.

Pada Jun lepas, rejim tentera memindahkannya ke penjara dan menempatkan beliau dalam kurungan bersendirian.

Selepas rampasan kuasa tentera pada 24 Februari 2021, Suu Kyi diletakkan di bawah perintah tahanan rumah sehingga April tahun ini sebelum dipindahkan ke lokasi yang tidak diketahui, dipercayai Penjara Naypyitaw.

Wanita itu berhadapan pelbagai pertuduhan, termasuk rasuah.

Bagi kes rasuah, beliau disabitkan dengan hukuman penjara lima tahun pada April.

Kerajaan Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera tahun lalu selepas memenangi pilihan raya kebangsaan pada November 2020.

Rampasan kuasa itu diikuti dengan pergolakan awam yang meluas apabila orang ramai mengecam penyingkirannya dan pemerintahan tentera.

Junta membalas secara ganas ke atas mereka yang melakukan protes, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa negara itu bakal menuju kepada perang saudara.

Pejabat hak asasi manusia PBB memaklumkan sekurang-kurangnya 2,316 orang termasuk 188 kanak-kanak telah terbunuh di Myanmar sejak tentera merampas kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 8:02 AM