HANIFA mati dibunuh. FOTO ihsan keluarga
HANIFA mati dibunuh. FOTO ihsan keluarga
Agensi

Abuja: Penemuan mayat seorang kanak-kanak Nigeria membangkitkan kemarahan penduduk di negara itu.

Jasad murid sekolah rendah Hanifa Abubakar, 5, itu ditemukan dalam keadaan reput.

Ia mencetuskan tanda pagar #JusticeForHanifa sehingga menjadi sohor kini (trending) bagi menuntut keadilan buat kanak-kanak malang itu.

Susulan kejadian, pihak berkuasa menahan suspek iaitu pengasas sekolah di mana murid itu belajar, Abdulmalik Mohammed Tanko serta dua lagi individu.

Sekolah itu turut diarahkan untuk ditutup serta-merta.

Suspek didakwa menculik Hanifa di utara Kano pada awal Disember lalu untuk menuntut wang tebusan AS$14,600 (RM61,122.90).

Polis berkata, suspek kemudian membunuh Hanifa selepas kanak-kanak itu mengenalinya.

Menurut pihak berkuasa, selepas ditahan, Abdulmalik, 34, membawa polis ke premis sekolah, tempat dia mengebumikan mayat murid itu.

Jasad kanak-kanak itu kemudian digali untuk pemeriksaan perubatan sebelum pengebumian sewajarnya dilakukan oleh keluarga mangsa.

Bercakap dengan suara yang penuh emosi, bapa kanak-kanak itu Abubakar Abdussalam memberitahu BBC, keluarganya trauma dan mahu menuntut keadilan.

Katanya, ibu Hanifa kini berada di hospital selepas rebah dan pengsan selepas mengetahui kematian anak mereka.

Pesuruhjaya Pendidikan Kano, Sanusi Sai'du Kiru menyifatkan, penculikan itu sebagai pengkhianatan terhadap amanah.

Nigeria sedang bergelut dengan gelombang penculikan untuk mendapatkan wang tebusan dengan kebanyakannya kumpulan bersenjata yang sering menyasarkan sekolah untuk penculikan besar-besaran pelajar.

Namun, penculikan didalangi kakitangan sekolah amat jarang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 7:00 AM