Kano, Nigeria: Militan Boko Haram membunuh 48 peniaga kecil ikan di Borno yang terletak bersempadan dengan Chad, kata Pengerusi Persatuan Pedagang Ikan semalam.

Abubakar Gamandi berkata, sejumlah anggota kumpulan ganas itu menghalang laluan menghubungkan Nigeria dan Chad berhampiran perkampungan nelayan di Doron Baga pada Khamis.

“Seramai 48 peniaga yang dibunuh itu dalam perjalanan ke Chad untuk membeli ikan,” katanya.

Abubakar berkata, pemberontak bersenjata itu meletakkan penghadang jalan di Dogon Fili yang terletak 15 kilometer dari Dogon Baga.

Selepas mengarahkan konvoi peniaga itu berhenti, sesetengah mereka dibunuh manakala yang lain dicampak ke dalam tasik.

“Militan Boko Haram menyembelih sebahagian daripada mangsa dan yang lain diikat kaki serta tangan sebelum dicampak ke tasik,” katanya.

Doron Baga yang terletak 180 kilometer dari ibu negeri Borno, Maiduguri, menjadi pangkalan kepada tentera Nigeria, Chad dan Niger yang bekerjasama menghadapi Boko Haram.

Abubakar berkata, semua mangsa dibunuh tanpa menggunakan senjata api.

“Pembunuhan itu berlaku secara senyap bagi mengelak disedari tentera pelbagai negara,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:17 AM