PORT-AU-PRINCE. FOTO AFP
PORT-AU-PRINCE. FOTO AFP
AFP

Port-au-Prince: Penculik yang menahan sekumpulan 17 mubaligh AS dan Kanada termasuk lima kanak-kanak di Haiti menuntut wang tebusan AS$1 juta (kira-kira RM4.15 juta) untuk setiap tebusan mereka.

Penculikan oleh salah satu kumpulan penjenayah menambahkan penderitaan negara itu susulan pembunuhan presiden Jovenel Moise pada Julai yang menyaksikan pelanggaran undang-undang terus meningkat.

AFP melaporkan, satu kumpulan dikenali sebagai 400 Mawozo, menguasai kawasan di mana mubaligh dan ahli keluarga mereka diculik selama berbulan-bulan, mahukan sejumlah AS$17 juta (kira-kira RM70.68 juta).

Menteri Kehakiman Haiti Liszt Quitel mengesahkan kumpulan itu bertanggungjawab dengan penculikan 16 orang Amerika dan seorang Kanada itu.

Katanya kepada The Washington Post, penculik biasanya menuntut sejumlah besar wang yang dikurangkan semasa rundingan, namun pegawainya tidak terbabit dalam perbincangan berkenaan.

Mubaligh terbabit bekerja di Kementerian Bantuan Kristian yang berpusat di AS, dan satu kenyataan menyebut, mereka diculik di timur Port-au-Prince ketika kembali dari mengunjungi rumah anak yatim yang terletak di antara ibu kota Haiti dan sempadan Republik Dominika.

Isnin lalu penduduk mengadakan mogok umum sebagai protes kepada keadaan keselamatan yang teruk ditambah dengan penculikan terbaharu.

Di Port-au-Prince, kedai, sekolah dan bangunan kerajaan ditutup namun beberapa bandar lain di negara itu membuka sekolah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 10:06 AM