FOTO HIASAN AFP
FOTO HIASAN AFP
Agensi

Seoul: Korea Selatan akan mengurangkan had umur kelayakan untuk menerima pil rawatan Covid-19 kepada 60 tahun berbanding 65 tahun yang diumumkan sebelum ini dalam usaha membendung penularan varian Omicron dengan lebih baik lagi.

Perdana Menteri Kim Boo-kyum mengumumkan langkah itu dalam satu mesyuarat Covid-19 sehari selepas Presiden Moon Jae-in berkata Omicron sudah menjadi varian dominan di negara berkenaan.

Setakat ini, pil rawatan Covid-19 diberikan kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah dan golongan berusia 65 tahun ke atas.

Ini selepas bekalan pertama pil Pfizer Inc tiba di negara itu minggu lalu, lapor agensi berita Yonhap.

"Serangan Omicron nampaknya sudah semakin hebat," kata Kim pada mesyuarat di Ibu Pejabat Pusat Pengendalian Bencana dan Keselamatan.

Menurutnya, jumlah kes baru melonjak secara mendadak sejak beberapa hari kebelakangan ini.

"Kami akan cuba membuat beberapa perubahan kepada sistem tindak balas perubatan sekarang untuk menangani Omicron dengan lebih cekap," katanya.

Kim berkata pil itu akan diagihkan secara lebih meluas lagi kepada rumah-rumah jagaan warga emas, hospital dan juga hospital khas untuk penyakit berjangkit.

Setakat ini, pil itu hanya diberikan kepada pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di rumah atau di pusat perubatan kejiranan.

Pengedaran pil berkenaan mungkin diperluaskan minggu depan, katanya.

Jangkitan Omicron membentuk 26.7 peratus kes baru di Korea Selatan pada minggu lalu dan dijangka meningkat kepada 50 peratus minggu ini.

Pihak berkuasa kesihatan menjangkakan kes harian Covid-19 melebihi 7,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 5:35 PM