Moon Jae-in
Moon Jae-in
Agensi

Seoul: Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in memohon maaf secara terbuka kelmarin kerana kegagalan menangani peningkatan penularan kes dan kematian Covid-19 di negara itu.

Moon menzahirkan permohonan maaf itu selepas kerajaan mengumumkan peraturan sekatan baharu mengehadkan bilangan perhimpunan kepada empat orang serta operasi premis perniagaan hingga jam 9 malam sahaja.

"Saya minta maaf kerana terpaksa melakukan sekali lagi peraturan ketat Covid-19.

"Sepanjang tempoh kembali normal secara berperingkat, kita gagal buat persediaan dengan betul dan tidak menyekat peningkatan pesakit kritikal atau mendapatkan katil hospital yang mencukupi," katanya dalam The Korea Herald.

Beliau berkata demikian kepada jurucakapnya, Park Kyung-mee yang menyampaikannya dalam satu taklimat media.

Kelmarin, Perdana Menteri Korea Selatan Kim Boo-kyum berkata, langkah diambil selepas kes jangkitan harian baharu meningkat lebih tiga kali ganda dengan rekod 7,850 kes dilapor Khamis lalu.

Di bawah peraturan baharu yang akan berkuat kuasa selama dua minggu bermula hari ini, restoran, kafe dan tempat hiburan malam perlu ditutup pada jam 9 malam.

Selain itu, pawagam dan dewan konsert dibenar beroperasi hingga jam 10 malam.

Sebulan lalu, Korea Selatan mula melonggarkan sekatan seperti memansuhkan had masa operasi perniagaan bagi membantu meningkatkan semula ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 7:01 AM