JURURAWAT di Korea Selatan menjalani latihan vaksinasi Covid-19 pada Mac lalu. FOTO EPA.
JURURAWAT di Korea Selatan menjalani latihan vaksinasi Covid-19 pada Mac lalu. FOTO EPA.
Agensi

Seoul: Buat pertama kalinya kes harian Covid-19 di Korea Selatan meningkat lebih 7,000 kes, menurut Perdana Menteri Kim Boo-kyum, hari ini.

Ia turut meletakkan kapasiti hospital dalam tekanan disebabkan pertambahan kemasukan pesakit dan kematian.

Jangkitan wabak itu meningkat bulan ini selepas kerajaan melonggarkan sekatan di bawah skim dipanggil 'hidup bersama Covid-19' pada November lalu.

Agensi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea (KDCA) melaporkan 7,175 kes Covid-19 dan 63 kematian setakat Selasa, manakala 840 kes kritikal dirawat di hospital.

Kim berkata, kerajaan akan menggerakkan petugas kesihatan untuk memantau pesakit yang menjalani pemulihan di rumah selain mempertingkatkan sistem pemindahan kecemasan bagi mereka yang mengalami gejala teruk.

"Klinik kesihatan swasta juga akan digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 selain hospital besar," katanya dipetik Channel News Asia.

Kim turut menggesa warga emas untuk mendapatkan suntikan penggalak selepas lebih 35 peratus jangkitan wabak itu membabitkan individu 60 tahun ke atas, dengan 84 peratus adalah kes teruk.

Isnin lalu, Korea Selatan mengenakan larangan lebih ketat termasuk mengurangkan jumlah individu dibenar berhimpun untuk majlis persendirian dan memperluaskan mandat pas vaksin.

Negara itu merekodkan keseluruhan 489,484 kes Covid-19 dan 4,020 kematian, manakala 91.8 peratus penduduk dewasa sudah lengkap vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 11:26 AM