WAD kecemasan.
WAD kecemasan.
Agensi

Singapura: Kebanyakan hospital awam Singapura menaikkan bayaran bagi perkhidmatan kecemasan tahun ini sebagai sebahagian daripada semakan menghadapi peningkatan kos.

Bayaran dikenakan bagi unit kemalangan dan kecemasan kini antara 116 dolar Singapura (kira-kira RM357) hingga 132 dolar Singapura (kira-kira RM407), berbanding antara 110 dolar Singapura (RM339) hingga 126 dolar Singapura (RM388) sebelum akhir April tahun ini.

Bayaran yang dikenakan itu merangkumi kos berjumpa doktor serta penjagaan dan rawatan.

Ia termasuk ujian asas seperti pemeriksaan air kencing atau pengesanan tahap gula dalam darah, prosedur asas seperti membalut luka, jahitan ringkas dan ubat-ubatan asas, menurut laporan The Straits Times (ST).

Menurut maklumat dalam talian, Hospital Besar Singapura (SGH), Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital Besar Sengkang mengenakan bayaran 121 Dolar Singapura (kira-kira RM373) bagi khidmat itu tahun lalu, sementara Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) mengenakan bayaran 122 dolar Singapura (RM376).

Semua empat hospital itu mengenakan bayaran 128 Dolar Singapura (RM394) bagi khidmat sama.

Hospital Besar Changi (CGH) kini mengenakan bayaran 132 dolar Singapura (RM407) berbanding 126 dolar Singapura (RM388) tahun lalu.

Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) kini mengenakan bayaran 127 dolar Singapura (RM391) berbanding 120 dolar Singapura (RM 370) pada tahun lalu.

Harga khidmat itu di Hospital Tan Tock Seng pula tidak berubah pada 128 dolar Singapura (RM394).

Di Hospital Alexandra (AH), pesakit kini dikenakan bayaran 116 dolar Singapura (RM357) bagi khidmat kecemasan, meningkat berbanding 110 (RM339) pada tahun lalu.

Pusat Penjagaan Kecemasannya yang berkhidmat 24 jam mengendalikan kecemasan perubatan namun bukan kes trauma seperti serangan jantung atau strok.

Hospital awam juga meningkatkan bayaran yang dikenakan bagi aspek lain termasuk ruang katil dan kos konsultasi doktor.

Menurut jurucakap Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), semakan itu merangkumi kos operasi dan inflasi.

"Institusi NUHS memastikan bayaran dikenakan tidak berubah sejak beberapa tahun lalu dan keputusan menyemak semula bayaran dibuat hanya selepas pertimbangan teliti bagi kesan terhadap pesakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 7:01 AM