Xu Genqin mengenakan caj kepada mereka yang ingin menyertai kelab peminatnya. FOTO Agensi
Xu Genqin mengenakan caj kepada mereka yang ingin menyertai kelab peminatnya. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Perlu bayar untuk jadi peminat. Itu dilakukan seorang lelaki di China yang meletakkan harga 25,000 Yuan (kira-kira RM16,170) sebulan kepada sesiapa yang ingin menyertai kumpulan peminatnya.

Global Times melaporkan lelaki berkenaan yang menyifatkan dirinya sebagai lelaki berkualiti tinggi dikecam teruk netizen menerusi media sosial Sina Weibo.

Dia disekat daripada media sosial itu selepas mengenakan bayaran kepada pengikutnya.

Xu Genqin, 29, memuat naik video mengenai dirinya yang ingin mencari pasangan dan berjaya menarik perhatian dengan penampilan, gaya rambut yang menjadi ikutan selebriti.

Netizen mendakwa Xu yang mencapai jumlah pengikut yang tinggi mula mencari keuntungan dengan bayaran 75,000 Yuan (kira-kira RM48,517) setahun.

Pengurusan Weibo berkata mereka menutup akaunnya pada Jumaat dan sedang menyiasat sama ada terdapat pengguna yang membayar yuran berkenaan.

Stesen televisyen tempatan juga melaporkan platform lain tidak membenarkan lelaki berkenaan membuka saluran penstriman langsung.

Weibo adalah platform media sosial popular di China dengan lebih 445 juta pengguna aktif.

Ia turut mendapat perhatian daripada masyarakat antarabangsa dengan beberapa negara turut menggunakannya sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 6:55 AM