Xu dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh mahkamah AS. FOTO AP
Xu dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh mahkamah AS. FOTO AP
AFP

Washington: Seorang pegawai perisikan China dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS) pada Rabu kerana mencuri teknologi daripada firma aeroangkasa AS dan Perancis, menurut Jabatan Kehakiman.

Xu Yanjun dituduh sebagai peneraju dalam skim lima tahun yang disokong kerajaan China untuk mencuri rahsia komersial daripada pengeluar enjin pesawat terkemuka dunia GE Aviation dan Kumpulan Safran dari Perancis yang bekerjasama dengan GE.

Xu adalah seorang daripada 11 warga China, termasuk dua pegawai perisikan, didakwa di Mahkamah Persekutuan di Cincinnati, Ohio, pada Oktober 2018.

Pegawai perisikan Kementerian Keselamatan China itu ditangkap pada April 2018 di Belgium selepas didapati terbabit dalam operasi kontra-perisikan dan merancang secara rahsia bertemu dengan pekerja GE.

Xu kemudiannya diekstradisi ke AS dan dibicarakan sebelum disabitkan bersalah dalam perbicaraan juri pada 5 November 2021 atas percubaan pengintipan ekonomi, percubaan mencuri rahsia perdagangan dan dua pertuduhan konspirasi yang berkaitan.

"Xu menyasarkan syarikat penerbangan Amerika, merekrut pekerja untuk melancong ke China, dan meminta maklumat proprietari mereka, semuanya bagi pihak kerajaan Republik Rakyat China," kata Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.

Pendakwa Raya Persekutuan Ohio, Kenneth Parker menjelaskan kes itu menghantar mesej jelas, sesiapa yang cuba mencuri rahsia perdagangan Amerika perlu bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 1:35 PM