FOTO tular menunjukkan pempengaruh itu memegang kertas ketika di tepi jalan.
FOTO tular menunjukkan pempengaruh itu memegang kertas ketika di tepi jalan.
Agensi

Beijing: Seorang pempengaruh di China, baru-baru ini, sanggup menipu bahawa dia hamil lima bulan ketika mencari jodoh di jalanan.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, wanita berusia 32 tahun itu dari wilayah Sichuan di barat daya China.

Dia dikatakan melakukan penipuan itu dengan menampakkan seperti ada benjolan di bahagian dalam pakaiannya supaya kelihatan hamil.

Menerusi video tular, wanita itu dilihat memegang sehelai kertas tertera, "32 tahun, bujang, tiada harta atau kereta, hamil lima bulan" dan menyenaraikan kriteria suami yang dicarinya.

"Dia sepatutnya ada rumah pangsa dan kereta, gaji bulanan lebih 20,000 yuan (kira-kira RM13,264) dan mesti melayan saya juga anak saya dengan baik," tulisnya.

Dalam video sama, wanita itu dilihat bercakap dengan seorang lelaki yang menunjukkan minat kepadanya.

"Walaupun anak itu bukan milikmu, saya milikmu. Jika kamu mencintai saya, kamu tidak akan peduli sama ada anak itu adalah milik kamu,"' katanya.

Tanpa teragak-agak, lelaki itu mengatakan bahawa dia mempunyai seorang anak lelaki berusia 40 tahun yang mungkin sesuai dengannya.

Bagaimanapun, apabila lelaki itu memberitahunya gaji bulanan anaknya antara 7,000 (kira-kira RM4,593) dan 8,000 yuan (kira-kira RM5,249), wanita itu terkejut dan 'menolaknya' dengan lambaian tangannya.

"Tidak mungkin saya boleh menerimanya. Saya tidak akan menganggap seorang lelaki yang berpendapatan kurang daripada 20,000 yuan (kira-kira RM13,123), kerana itu tidak akan menyara anak saya dengan secukupnya," katanya kepada lelaki itu.

Sebaik sahaja klip video itu tersebar dalam talian di tanah besar ia menjadi tular, orang ramai curiga dan mempersoalkan kesahihannya.

Pihak berkuasa kemudiannya mengumumkan di Weibo bahawa wanita itu mengakui mereka cerita untuk menarik perhatian di media sosial, sambil menambah bahawa dia kini menjadi subjek siasatan rasmi.

Akaun media sosialnya sudah ditutup dan tindakan pempengaruh itu mencetuskan kritikan meluas di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 2:57 PM