FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Agensi

Bangkok: Kementerian Pendidikan akan memberikan vaksin kepada lebih empat juta pelajar berusia antara 12 hingga 18 tahun dengan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, kata pegawai kanan kementerian.

Timbalan Menteri Kanokwan Vilwan memberitahu dewan pada Khamis, bahawa kementerian akan menerima tiga juta dos vaksin Pfizer yang dijangka tiba September ini untuk pelajar di seluruh negara itu.

Bangkokpost melaporkan, kementerian juga masih berusaha mendapatkan lebih banyak dos bagi memastikan semua pelajar dapat divaksinkan.

Kanokwan berkata, program vaksinasi itu dijangka dapat dilengkapkan dalam tempoh sebulan sebelum sekolah dibuka, dengan lebih 600,000 daripada 900,000 guru sudah divaksin.

Beliau menjawab persoalan yang dikemukakan ahli parlimen Pheu Thai Manit Sangphum di dalam media sosial mengenai kualiti pendidikan yang teruk dan keperluan untuk mempercepatkan pembelajaran di sekolah.

Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) sudah mengagihkan vaksin yang didermakan Amerika Syarikat (AS).

Vaksin berkenaan diberikan sebagai dos penggalak kepada petugas kesihatan dan barisan hadapan yang sudah menerima dua dos vaksin.

Hospital Ramathibodi, Siriraj dan Chulalongkorn Memorial Hospital di Bangkok akan bertanggungjawab mengagihkan vaksin berkenaan, manakala hospital tempatan di wilayah sekitarnya seperti Nonthaburi, Nakhon Pathom, Samut Prakan, Samut Sakhon, dan Pathum Thani akan menjalankan proses vaksinasi.

Sejumlah 1,503,450 dos vaksin Pfizer yang didermakan AS tiba di Thailand awal bulan ini.

Selain 700,000 dos yang dikhaskan untuk dos penggalak petugas kesihatan, sebanyak 645,000 dos akan diberikan kepada warga emas dan pesakit dengan tujuh masalah kesihatan, kanak-kanak bawah 12 tahun dan wanita mengandung 12 minggu ke atas.

Sebanyak 150,000 dos dikhaskan untuk ekspatriat warga emas atau menderita satu atau lebih daripada tujuh penyakit, wanita mengandung dan pelajar yang merancang ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 2:33 PM