VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
VAKSIN Pfizer. FOTO fail AFP
Saadiah Ismail


Putrajaya: Pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima vaksin Sinovac dapat meningkatkan keberkesanan imuniti badan individu itu daripada 54 peratus kepada 95 peratus.

Dapatan itu diperoleh hasil daripada kajian Kementerian Kesihatan Chile yang menunjukkan keberkesanannya iaitu 14 hari selepas dos penggalak diberikan.

Berdasarkan maklumat dikongsi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter beliau, untuk dos penggalak AstraZeneca kepada penerima Sinovac, keberkesanan vaksin meningkat daripada 54 peratus kepada 94 peratus.

Selain itu, pemberian dos penggalak Sinovac kepada penerima Sinovac pula meningkatkan keberkesanan vaksin daripada 54 peratus kepada 74 peratus.

Justeru, Khairy menyarankan orang ramai yang mendapat janji temu pemberian dos penggalak Covid-19 supaya hadir dan menerima suntikan mereka.

Beliau berkata, pemberian dos penggalak Covid-19 itu adalah strategi perlindungan penting terutama apabila pembukaan sektor ekonomi dan sosial dibenarkan.

"Keberkesanan vaksin Covid-19 akan menurun selepas beberapa bulan dan disebabkan itu dos penggalak amat penting.

"Pemberian dos penggalak berbeza daripada dos asal banyak dilaksanakan di banyak negara dan ketika ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan Pfizer sebagai dos penggalak untuk penerima vaksin Pfizer dan Sinovac.

"KKM kini sedang menilai kombinasi keberkesanan beberapa vaksin lain untuk keselamatan dan akan mengumumkannya tidak lama lagi," katanya menerusi hantarannya di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 5:16 PM