Rakyat Palestin menerima rawatan di hospital Al-Shifa di Gaza. - FOTO EPA
Rakyat Palestin menerima rawatan di hospital Al-Shifa di Gaza. - FOTO EPA
BERNAMA

Ramallah: Pegawai kesihatan Palestin memberi amaran bahawa situasi epidemiologi akibat Covid-19 di wilayah Palestin 'semakin buruk'.

Pengarah hospital Palestin di Kementerian Kesihatan, Naji Nazzal dalam kenyataan kepada agensi Xinhua berkata, keadaan semakin parah dengan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan di hospital semakin meningkat.

Katanya, sejak beberapa minggu lalu, jumlah kes telah menunjukkan trend penurunan tetapi kes kembali meningkat selepas varian Delta dikesan di wilayah Palestin.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan bersedia membuka pusat perubatan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Nazzal turut menggesa rakyat Palestin di kawasan terjejas segera mendapatkan suntikan vaksin.

"Vaksin akan melindungi daripada gejala yang teruk serta mengurangkan jumlah pesakit dirawat di unit rawatan rapi dan penggunaan ventilator," katanya.

Ahad lalu, pegawai di Palestin berkata, 70 peratus kes jangkitan Covid-19 di wilayah Palestin adalah berpunca daripada varian Delta.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin semalam, melaporkan dua kematian akibat Covid-19 di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dan 753 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam.

Seramai 667,894 rakyat di kawasan berkenaan telah menerima suntikan vaksin, termasuk 432,731 sudah lengkap dua dos.

Di Semenanjung Gaza pula hanya 10 peratus penduduk sudah menerima vaksin masing-masing.

"Sekurang-kurangnya 1.5 juta dari dua juta penduduk di Semenanjung Gaza perlu divaksin untuk memastikan mereka dilindungi daripada varian Delta," kata pengarah kawalan jangkitan Kementerian Kesihatan Gaza, Rami al-Abadla.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 8:34 PM