GAMBAR pada 17 Mei menunjukkan antara kesan kemusnahan akibat serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza. FOTO EPA
GAMBAR pada 17 Mei menunjukkan antara kesan kemusnahan akibat serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza. FOTO EPA
AFP

Gaza City: Makmal tunggal untuk ujian saringan Covid-19 di Semenanjung Gaza kini tidak dapat lagi beroperasi selepas serangan rejim zionis terhadap wilayah Palestin itu pada Isnin, menurut pihak berkuasa tempatan.

Sebahagian daripada Klinik Al-Rimal di bandar dengan nama yang sama di Semenanjung Gaza itu, musnah dalam serangan berkenaan.

Dalam pada itu, serangan Israel itu mengenai bangunan menempatkan Kementerian Kesihatan dan pejabat Bulan Sabit Merah Qatar, menurut pegawai pihak berkuasa.

Kakitangan perubatan di kementerian berkenaan cedera, dengan beberapa daripada mereka parah, kata Timbalan Menteri Kesihatan Gaza Yousef Abu al-Rish kepada pemberita.

Jurucakap kementerian Ashraf Qidra berkata, serangan Israel 'mengancam usaha untuk menangani pandemik Covid-19'.

Katanya, serangan berkenaan 'menghentikan ujian saringan... di makmal pusat itu'.

Sebelum serangan udara tentera Israel lebih seminggu lalu, pihak berkuasa di Gaza menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada kira-kira 1,600 orang setiap hari.

Kadar keputusan positif direkodkan adalah antara paling tinggi di dunia, iaitu pada 28 peratus, dan ia menyebabkan hospital sesak dengan pesakit.

Semenanjung Gaza dengan dua juta penduduk sebelum ini sudah menerima 122,000 dos vaksin, dengan lebih separuh daripadanya sudah diberikan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut WHO, 103,000 orang sudah disahkan positif Covid-19 di Semenanjung Gaza dengan 930 orang daripadanya meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 9:21 AM