PENDUDUK Palestin membeli lantera di bandar Khan Yunis di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin membeli lantera di bandar Khan Yunis di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
BERNAMA

Gaza City: Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza memperketat langkah pencegahan bagi mengekang penularan Covid-19 sepanjang Ramadan ini, lapor agensi berita Xinhua.

Kementerian Dalam Negerinya dalam satu kenyataan berkata, pergerakan trafik di seluruh Semenanjung Gaza tidak akan dibenarkan setiap hari, mulai 7 malam hingga 6 pagi.

Arahan baharu itu berkuat kuasa mulai Selasa, selama 30 hari, sehingga berakhirnya Ramadan.

Selain itu, sekatan pergerakan (lockdown) dikuatkuasakan mulai 9 malam hingga 6 pagi dengan penutupan kedai.

"Perhimpunan orang ramai di tempat awam dan di jalanan termasuk perkahwinan di luar bangunan dan pasar awam mingguan juga tidak dibenarkan sepanjang Ramadan, " kata kenyataan itu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Eyad al-Bozzom memberitahu pemberita bahawa orang ramai perlu mematuhi langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka ketika menunaikan solat di masjid, sepanjang Ramadan.

Semenanjung Gaza sebelum ini menyaksikan lonjakan kes positif Covid-19 susulan penularan varian baharu di wilayah yang dikenakan sekatan oleh Israel itu.

Pada Isnin, Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah menyatakan 2,762 kes Covid-19 dan 26 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam di wilayah dikuasai Palestin.

Daripada jumlah kes baharu itu, 998 kes di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur, manakala 1,764 kes di Semenanjung Gaza.

Dalam pada itu, program imunisasi di wilayah Palestin berjalan lancar.

Setakat ini, 146,986 orang sudah menerima suntikan dos pertama vaksin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Daripada jumlah itu, 14,674 orang sudah menerima suntikan dos kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 12:27 PM