Warga Palestin menunggu giliran membuat isian semula gas memasak dalam cuaca sejuk di Semenanjung Gaza. Kebanyakan rakyat Palestin menggunakan bateri atau lilin untuk menerangi kediaman. - FOTO EPA
Warga Palestin menunggu giliran membuat isian semula gas memasak dalam cuaca sejuk di Semenanjung Gaza. Kebanyakan rakyat Palestin menggunakan bateri atau lilin untuk menerangi kediaman. - FOTO EPA
Agensi

Gaza: Semenanjung Gaza berdepan situasi 'sulit dan malapetaka' berikutan penularan pantas varian Omicron, kata seorang pegawai kesihatan Palestin.

"Keluk jangkitan menunjukkan peningkatan mendadak dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Penasihat kepada Menteri Kesihatan Palestin, Fathi Abdu Warda.

Beliau menjelaskan, terdapat 95 pesakit dimasukkan ke hospital dengan 63 daripadanya dalam keadaan kritikal dan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) mencecah 56 peratus.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Abu Warda memohon mereka yang dijangkiti Covid-19 atau mengalami gejala berkaitan virus itu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan termasuk melakukan ujian saringan.

Katanya, sebanyak 48 peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital dijangkiti varian Omicron.

Menurutnya, musim sejuk ketika ini yang melanda wilayah Palestin dan kekurangan bekalan elektrik di Semenanjung Gaza mengakibatkan penduduk di situ terpaksa bergelap selama 12 jam sehari, sehingga mencetuskan amaran sekali gus keadaan itu menyumbang kepada penularan virus itu.

"Setakat ini, hanya 30 peratus populasi Semenanjung Gaza sudah divaksinasi," kata Abu Warda.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan menggesa mereka yang belum disuntik vaksin untuk berbuat demikian.

Palestin merekodkan lima kematian dan 5,380 kes baharu Covid-19 di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 1:09 PM