GUNUNG Everest. FOTO fail AFP
GUNUNG Everest. FOTO fail AFP
AFP

Beijing: China akan mengadakan 'garis pemisah' di puncak Gunung Everest untuk mengelak jangkitan Covid-19 dalam kalangan pendaki dari Nepal, lapor agensi berita negara itu.

Ia susulan laporan bahawa lebih 12 orang pendaki jatuh sakit di kem pangkalan puncak gunung berkenaan.

Kira-kira 30 pendaki dibawa keluar dari kem pangkalan di puncak gunung itu yang terletak di bahagian Nepal, sejak beberapa minggu lalu.

Gunung Everest menganjur antara sempadan China dan Nepal, dengan cerun di sebelah utara terletak dalam kawasan China.

Pihak berkuasa Tibet memberitahu pemberita bahawa pihaknya akan mengambil langkah pencegahan dengan mengelak kontak antara pendaki di cerun utara dan selatan puncak berkenaan, lapor agensi berita Xinhua, pada Ahad.

Jurupandu akan membuat garis pemisah di puncak sebelum membenarkan pendaki meneruskan pendakian.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memperincikan mengenai garis pemisah berkenaan.

Seramai 21 pendaki China menerima kebenaran untuk mendaki ke puncak Everest pada tahun ini selepas menjalani kuarantin di Tibet, sejak awal April.

China juga sudah memperketat langkah kawalan di kem pangkalan di bahagian negara itu yang terletak di utara gunung berkenaan.

Negara itu juga mengharamkan warga asing untuk mendaki Everest sejak tahun lalu, susulan penularan Covid-19.

Bagaimanapun, Nepal sudah mengeluarkan permit mendaki untuk memulihkan kunjungan pelancong yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 11:52 AM