GUNUNG Everest.
GUNUNG Everest.

Kathmandu: Empat pendaki mati di Gunung Everest hujung minggu lalu, menjadikan musim pendakian gunung tertinggi di dunia tahun ini paling banyak menyaksikan kematian selepas kejadian tanah runtuh memusnahkan kem pangkalan hingga menyebabkan 18 orang mati dua tahun lalu.

Pegawai berkata, lebih 12 pendaki juga diselamatkan sepanjang tiga hari lalu selepas mereka berdepan kesukaran ketika cuba tiba di puncak gunung berkenaan.

Empat kematian terbaru itu meningkatkan jumlah pendaki yang mati pada musim ini kepada enam.

Pendaki Slovakia, Vladamir Strba ditemui mati Ahad lalu, beberapa ratus meter dari puncak.

Mayatnya ditemui di atas tanda 8,000 meter yang dikenali sebagai ‘zon maut’ gunung berkenaan.

Kawasan itu juga meragut nyawa pendaki Amerika Syarikat, Roland Yearwood.

Pendaki Australia berusia 54 tahun pula mati selepas melepasi ketinggian 7,500 meter.

Menurut pegawai, pendaki berkenaan yang mendaki dari sebelah Tibet meninggal dunia ketika dalam perjalanan turun.

Sementara itu, mayat pendaki keempat dari Uttar Pradesh, India yang dilapor hilang Sabtu lalu ditemui semalam,

Dia sebelum itu terputus hubungan dengan pegawai sejurus selepas sampai ke puncak gunung yang setinggi 8,848 meter itu.

Dua pendaki yang mati musim ini sebelum ini ialah pendaki legenda Switzerland, Uli Steck dan seorang lelaki Nepal, berusia 85 tahun, Min Bahadur Sherchan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 1:47 PM