AYAM buatan makmal. FOTO Eat Just
AYAM buatan makmal. FOTO Eat Just
Agensi

Singapura: Pengguna di negara ini bakal menikmati daging ayam dihasilkan di makmal.

Ia ayam kultur hasil kepakaran Eat Just, syarikat peneraju teknologi makanan berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS),

Channel News Asia (CNA) melaporkan, Eat Just menerusi satu pengumuman hari ini memaklumkan ayam kulturnya diberi kelulusan oleh pihak berkuasa Singapura.

Daging ayam itu akan digunakan sebagai bahan dalam makanan kudapan iaitu produk nuget yang bakal dilancarkan oleh syarikat itu.

Agensi Makanan Singapura (SFA) memberitahu ia kemungkinan kali pertama produk daging kultur dijual secara komersial di dunia, selain mengumumkan garis panduan baharu bagi memastikan keselamatannya.

Daging kultur atau berasaskan sel dihasilkan dalam makmal menggunakan sel haiwan.

Eat Just yang terkenal dengan produk pengganti telur berasaskan tumbuhan menyatakan ayam itu istimewa kerana tiada antibiotik digunakan dalam produknya.

Malah, ujian keselamatan dilakukan mendapati ayam kultur keluaran Eat Just mengandungi mikrobiologi yang sangat rendah dan jauh lebih bersih berbanding ayam biasa.

Ayam kultur itu dihasilkan di Pusat Inovasi dan Sumber Makanan, sebuah kemudahan kajian makanan yang dikendalikan bersama oleh Politeknik Singapura dan agensi kerajaan, Enterprise Singapore.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eat Just ,Josh Tetrick berkata, Singapura sudah lama menjadi peneraju pelbagai jenis inovasi, daripada teknologi maklumat hingga biologi dan kini memimpin dunia dalam membangunkan sebuah sistem makanan yang lebih sihat serta selamat.

"Saya pasti kelulusan pengawalseliaan kami untuk daging kultur adalah yang pertama daripada banyak lagi seumpamanya di Singapura dan di seluruh dunia," katanya ketika menjelaskan alasan memilih Singapura sebagai lokasi pertama untuk melancarkan produk ayamnya itu.

Menurut Tetrick, syarikatnya merancang untuk memasarkan produknya di sebuah restoran dahulu sebelum mengedarkannya kepada pasaran lebih meluas.

Katanya, harga yang ditetapkan adalah sama dengan apa yang dibayar oleh pengguna untuk ayam bernilai tinggi di restoran.

Meskipun begitu, kos pembuatan ayam berasaskan sel tidak boleh didedahkan atas sebab hak milik intelek.

Tetrick bagaimanapun menjangkakan ayam itu akan dijual pada harga lebih rendah berbanding ayam biasa pada tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 1:49 PM