INOVASI nasi daging lembu itu diterbitkan menerusi jurnal Matter, baru-baru ini. FOTO Universiti Yonsei
INOVASI nasi daging lembu itu diterbitkan menerusi jurnal Matter, baru-baru ini. FOTO Universiti Yonsei
Agensi

Seoul: Penyelidik Korea Selatan melancarkan ciptaan hibrid iaitu nasi yang mengandungi daging lembu, dalam usaha menjadikan ia sebagai gabungan daging kultur dan makanan ruji, lapor Agensi Anadolu.

Ia dibangunkan dengan menyaluti bijirin beras dengan sel haiwan dan meletakkannya di dalam makmal.

Inovasi berkhasiat dan berperisa ini menawarkan peningkatan kandungan protein dan lemak sambil berpotensi menawarkan sumber protein yang mampan dan berpatutan.

Inovasi itu diterbitkan dalam jurnal Matter pada Rabu lalu, dengan kajian itu menggambarkan beras itu menghasilkan jejak karbon yang lebih rendah dan kurang sumber intensif, berbanding pengeluaran daging lembu secara tradisional.

"Untuk setiap 100 gram protein yang dihasilkan, beras hibrid ini mengeluarkan kurang daripada 6.27 kilogram (kg) karbon dioksida, manakala daging lembu mengeluarkan 49.89 kg karbon dioksida," kata ketua penyelidik, Sohyeon Park.

Menurutnya, angka itu diterjemahkan kepada faedah alam sekitar yang ketara.

Dari segi kos pula, saintis meramalkan beras hibrid yang dikomersialkan itu boleh berharga AS$2.23 (kira-kira RM11) sekilogram, berbanding AS$14.88 (kira-kira RM71) iaitu harga semasa untuk daging lembu.

Park turut membayangkan inovasi itu boleh dipelbagaikan penggunaannya daripada membasmi kebuluran, bekalan makanan untuk tentera, sehingga makanan untuk angkasawan.

Tetapi saintis berkata, penyelidikan mengenainya masih di peringkat awal.

Kajian tambahan diperlukan untuk menilai rasa, kebolehskalaan dan penerimaan pengguna sebelum nasi yang dimasak dengan daging lembu menjadi kenyataan di pinggan orang ramai.

Menurut kajian sama, konsep inovatif ini menawarkan gambaran yang menjanjikan mengenai masa depan sumber protein yang mampan dan boleh diakses.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 11:02 AM