HIDANGAN berasaskan daging ayam dibuat di makmal, yang disediakan untuk hotel JW Marriott. FOTO GOOD Meat / AFP
HIDANGAN berasaskan daging ayam dibuat di makmal, yang disediakan untuk hotel JW Marriott. FOTO GOOD Meat / AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) memberikan kelulusan pertamanya kepada dua syarikat untuk menjual daging ayam yang dibangunkan menerusi sel haiwan di makmal.

Jurucakap Jabatan Pertanian AS (Usda) meluluskan sistem keselamatan makanan di kemudahan Upside Foods dan Good Meat itu.

Kata agensi itu, produk itu akan tersedia di restoran terpilih dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Upside Foods, Uma Valeti berkata, kelulusan itu mengubah cara daging disediakan kepada pengguna.

"Ia satu langkah besar ke hadapan ke arah masa depan yang lebih mampan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Good Meat, Josh Tetrick berkata, bahagian makanan kultur sel Eat Just, menambah daging yang dibuat di makmal kini diluluskan untuk dijual kepada pengguna di negara ekonomi terbesar dunia.

Menghasilkan daging dalam jumlah besar dan berkualiti tinggi adalah mahal.

Namun, dengan kelulusan itu, Upside memproses pesanan pertamanya yang dibuat restoran tiga bintang, Chef Dominique Crenn Bar Crenn di San Francisco.

Good Meat pula memulakan pengeluaran kumpulan pertamanya yang akan dijual kepada chef selebriti dan dermawan, Jose Andres.

Andres akan menjual produk itu di sebuah restoran yang belum didedahkan di Washington.

Beberapa syarikat pemula menyasarkan untuk menghasilkan daging makmal itu, yang membolehkan manusia mengambil protein haiwan tanpa kemudaratan alam sekitar atau penderitaan haiwan.

Produknya berbeza daripada pengganti berasaskan tumbuhan seperti burger soya yang meniru tekstur dan rasa daging tetapi tidak mengandungi sebarang protein haiwan.

Eat Just pertama kali menerima kebenaran untuk membuat daging tiruan, di Singapura, pada 2020.

Walaupun pasaran daging makmal terbukti rumit, beberapa syarikat menyasarkan pengeluaran untuk

makanan haiwan peliharaan.

Daging yang dibuat di makmal membabitkan proses penuaian pertama sel daripada haiwan hidup atau telur yang disenyawakan, untuk menubuhkan bank sel yang boleh disimpan selama beberapa dekad dalam keadaan sejuk beku.

Ia kemudiannya ditanam dalam tangki keluli serta diberikan nutrien yang serupa dengan apa yang akan dimakan haiwan.

Selepas beberapa minggu, produk hasil dituai dari tangki dan dibentuk menjadi bentuk seperti filet ayam atau sate.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 10:39 AM